BRUSSELS - BELGIUM. Kesatuan Eropah (EU) tetap mengenakan sekatan baharu ke atas Rusia yang berkuatkuasa, semalam walaupun Moscow mengancam untuk bertindak balas terhadap 'hukuman' tersebut.

Sekatan ekonomi itu menyasarkan firma minyak utama, sektor industri pertahanan serta perbankan negara terbabit.

Menurut jurnal rasmi EU, seramai 24 individu turut disenaraihitamkan dan kesemua aset mereka dibekukan di bawah langkah kontroversi tersebut.

Keputusan itu dibuat 28 negara anggota EU, kelmarin selepas meneliti beberapa perkara walaupun kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah pro-Rusia telah menandatangani perjanjian gencatan senjata, minggu lalu.

Sejurus sekatan baharu itu dikuatkuasakan, nilai mata wang Rusia dilaporkan mencecah rekod paling rendah 37.72 berbanding dolar.

Bulan lalu, Rusia mengenakan larangan import produk makanan dari Amerika Syarikat dan EU sebagai respons terhadap sekatan yang dikenakan negara Barat ke atas mereka, laporan dipetik dari AFP.