Saturday, September 13, 2014

Ukraine, pemberontak bertukar-tukar tahanan


DONETSK 12 Sept. - Kerajaan dan kumpulan pemberontak pro-Rusia bersetuju bertukar-tukar berpuluh-puluh tahanan perang yang ditahan pihak masing-masing semasa pertempuran di Ukraine, awal pagi ini sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara kedua-dua belah pihak awal bulan ini.
Pertukaran itu berlaku di luar kubu kuat utama kumpulan pemberontak pro-Rusia di Donetsk di bawah pemantauan pemerhati antarabangsa.
Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berkata, sebanyak 36 tentera Ukraine dibebaskan selepas rundingan dengan pihak pemberontak dan selanjutnya 21 lagi askar Ukriane dibebaskan sehari sebelumnya.
Tentera Ukraine dalam pada itu membebaskan 31 anggota pemberontak yang ditahan sepanjang konflik selama lima bulan di wilayah itu.
Masih terdapat ratusan tahanan yang ditahan kedua-dua belah pihak, walaupun tiada pengesahan tentang angka tersebut.
Gencatan senjata antara pemberontak dan kerajaan Ukraine berkuatkuasa pada Jumaat lalu, namun ia diingkari kedua-dua pihak termasuk selepas pertukaran itu berlangsung.
Masih kedengaran serangan roket berlaku di tengah Donetsk.
Dalam perkembangan berasingan, Poroshenko berkata, Parlimen Ukraine dan Eropah akan mengadakan pertemuan pada 16 September ini bagi mengesahkan satu perjanjian bersama bagi membawa keluar negara itu daripada pengaruh Rusia.
Katanya, satu persidangan antarabangsa di Kiev diharap dapat memastikan 'status istimewa' bagi Ukraine dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semasa lawatannya ke Washington pada minggu depan, selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140913/lu_08/Ukraine-pemberontak-bertukar-tukar-tahanan#ixzz3D90hypCf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment