Sunday, October 26, 2014

Bayi terkecil diiktiraf MBOR dengan berat 530 gram


26/10/2014 5:15pm

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan diiktiraf sebagai bayi paling kecil di negara ini oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) dengan berat 530 gram sewaktu dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) lima tahun lalu.
Voasha J. Kumar, merupakan bayi pramatang dilahirkan secara normal ketika berusia enam bulan setengah pada 9 Oktober 2009 merupakan anak sulung kepada pasangan J.K. Michael, 38, dan K.M. Jashila Preya, 35, yang kini menetap di Singapura sejak tiga tahun lalu.
Menurut Jashila, dia dan suaminya terpaksa berulang-alik ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL kerana Voasha ditahan selama tujuh bulan di sana sebaik dilahirkan ekoran badan anaknya itu terlalu rapuh.
“Saya menjalani pemeriksaan kesihatan semasa mengandung di hospital swasta, namun, mereka tidak dapat menerima kami apabila melahirkan bayi pramatang.
“Justeru, saya amat terhutang budi kepada HKL kerana mereka telah membuktikan bahawa hospital kerajaan juga mempunyai kepakaran dalam menguruskan bayi pramatang. Ketika itu, saya diberi pilihan sama ada mahu meneruskannya (tetapi peluang Voasha hidup adalah tipis) atau membiarkannya ‘pergi’ kerana tidak mahu menyeksanya dengan dicucuk pelbagai tiub.
“Pada saat itu, saya hampir mengalah kerana sehari selepas anak saya dilahirkan, beratnya menurun kepada 480 gram. Begitupun, suami saya percaya Voasha masih kuat dan mampu untuk terus hidup," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan sambutan hari jadi anaknya itu di salah sebuah hotel di sini malam tadi.
Pada majlis tersebut, pasangan itu secara rasminya menerima sijil pengiktirafan MBOR yang disampaikan menerusi wakil agensi itu, Huda Zakaria yang turut dihadiri oleh Ketua Bahagian MIC Ipoh Barat, Datuk G. Rajoo dan Ketua Bahagian MIC Kampar, Datuk S. Veerasingam.
Difahamkan, rekod bayi terkecil sebelum ini dipegang oleh seorang bayi yang dilahirkan di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur dengan berat 600 gram pada tahun 2000.
Dalam pada itu, Jashila mengakui, anaknya itu kini hidup normal melainkan sedikit hiperaktif selain lambat berjalan dan bercakap serta memiliki berat badan yang tidak ideal berbanding purata kanak-kanak seusianya.
“Kami hanya memohon untuk mendapatkan pengiktirafan MBOR selepas Voasha berusia hampir lima tahun apabila dia benar-benar stabil terutamanya daripada segi perkembangan otaknya,” katanya sambil memberitahu, saiz anaknya itu selepas dilahirkan hanya sebesar kira-kira sebesar sebotol air mineral kecil. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_19.htm#ixzz3HGK5nd1V 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment