Monday, October 6, 2014

Henti cari mangsa letupan Gunung Ontake


Tokyo: Operasi mencari mangsa yang hilang di kawasan gunung berapi di tengah Jepun dihentikan semalam kerana ancaman taufan yang mungkin membawa hujan lebat.

Operasi terpaksa dihentikan selepas lebih seminggu setelah Gunung Ontake tiba-tiba meletup dan mengorbankan puluhan nyawa.


Sekurang-kurangnya 12 mayat pendaki dipercayai masih berada di sekitar kawasan berkenaan.

Pasukan penyelamat sebelum ini menemui 51 mayat mangsa, menjadikannya letupan gunung berapi Jepun terburuk sejak 90 tahun lalu.


Seorang pegawai pengurusan bencana di wilayah Nagano berkata, “Usaha menyelamat terpaksa dihentikan kerana kemungkinan hujan lebat di kawasan terbabit.”


Hujan lebat dan angin kencang mula melanda Jepun berikutan Taufan Phanfone yang membadai pantai Pasifik, mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya tanah runtuh hari ini.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, Taufan Phanfone dengan kelajuan angin 216 kilometer sejam dikesan sekitar 120 kilometer di tenggara Yakushima, wilayah Kagoshima di selatan negara itu pada tengah hari waktu tempatan.

Gas masih menyelubungi kawasan pergunungan yang kini diseliputi debu tebal, menyukarkan lagi usaha mencari dan menyelamat.

Hampir 1,000 tentera, bomba dan polis terbabit dalam gerakan mencari dan menyelamat itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

No comments:

Post a Comment