Tuesday, October 21, 2014

Khairy Dibenar Merayu Keputusan Mahkamah Tidak Benar Pinda Kenyataan Pembelaan


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 4:48 PM
Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin memberi kebenaran kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkannya meminda kenyataan pembelaannya dalam saman fitnah oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Panel hakim lima anggota dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif berkata mahkamah perlu mendengar hujahan lanjut berhubung perkara itu.

Beliau membenarkan permohonan Khairy bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung dua persoalan undang-undang yang akan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada prosiding rayuan.

Persoalan undang-undang itu bertumpu pada pembelaan 'justifikasi separa' dan sama ada ia boleh diguna pakai dalam saman fitnah di Malaysia, dan sama ada ia boleh berdasarkan penemuan spesifik Mahkamah Persekutuan dalam kes pertama liwat Anwar.

Turut bersidang dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy, mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, telah mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.

Anwar turut mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi sebahagian daripada ucapan Khairy di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Februari 2008.
Khairy, dalam kenyataan pembelaan difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bergantung pada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Pada 9 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairy untuk meminda pembelaannya dalam kes saman tersebut.
Beliau memfailkan permohonan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk merayu pada 20 Ogos tahun lepas.

Khairy diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Anwar diwakili Datuk Sulaiman Abdullah.

No comments:

Post a Comment