Tuesday, October 21, 2014

Pendatang: Sudah lama merdeka, tak perlu sindir menyindir


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: PAS kecewa dengan kenyataan perwakilan parti Gerakan Johor, Tan Lai Soon yang boleh menimbulkan suasana ketegangan kaum apabila mengatakan orang Melayu juga pendatang.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam keadaan Malaysia yang sudah lama merdeka, kenyataan siapa pendatang atau penduduk tetap tidak wajar dikeluarkan lagi.

"Tidak perlu untuk kita persoalkan siapa pendatang atau siapa penduduk tetap sebab penduduk yang ada di negara ini semua dilahirkan di Malaysia.

"Kita hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, sepatutnya kita menghormati sesama sendiri tanpa perlu menyindir mana-mana kaum," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, bukan sahaja soal penghinaan terhadap kaum Melayu, tetapi mana-mana kaum sekalipun tidak wajar dihina dengan isu yang sensitif.

"Gerakan perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang tidak elok.

"Ini merupakan didikan yang dibawa Umno yang sering memainkan isu perkauman sehingga rakan mereka sendiri berani mengeluarkan kenyataan sedemikian," jelasnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad memberitahu semua pihak perlu memberi tumpuan kepada soal pembangunan negara serta kebajikan rakyat dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan pergaduhan.

Katanya, dalam keadaan rakyat dihimpit dengan tekanan kos hidup yang meningkat, BN sepatutnya memikirkan jalan membela rakyat dan bukan cuba mewujudkan pegeseran kaum.

Lai Soon dalam ucapan ketika Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan mengingatkan pemimpin Umno untuk tidak menggunakan kenyataan "pendatang" kepada bangsa lain dan memberitahu orang Melayu juga merupakan pendatang di negara ini. - HARAKAHDAILY 21/10/2014

No comments:

Post a Comment