BEIJING - CHINA. China menaikkan cukai penggunaan ke atas produk minyak, termasuk gasolin dan diesel, pada Sabtu walaupun harga minyak global jatuh.
Kenaikan itu, kali terakhir pada 2009, bertujuan mengurangkan pencemaran dan merangsang ekonomi hijau, agensi berita Xinhua memetik kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Pentadbiran Percukaian Negeri.
Menurut kenyataan itu, susulan pelarasan tersebut, cukai penggunaan ke atas gasolin akan meningkat kepada 1.12 yuan seliter berbanding 1.0 yuan (US$0.16) manakala diesel akan naik daripada 0.8 yuan kepada 0.94 yuan seliter.
Kejatuhan harga minyak global kepada paras terendah dalam tempoh empat tahun pada Jumaat adalah susulan keputusan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum untuk mengekalkan pengeluaran.
Liu Shangxi, Pengarah Institut Penyelidikan bagi Sains Fiskal MOF, berkata langkah itu akan menjimatkan sumber minyak dan mengurangkan pencemaran, berikutan ekzos auto merupakan punca utama kepada pencemaran udara.
"Pelarasan cukai produk petroleum merupakan trend global dan menggariskan keperluan segera untuk menggalakkan ekonomi hijau di seluruh dunia," kata Liu yang dipetik oleh Xinhua. 
Menurut agensi berita itu, produk petroleum yang terlibat dalam kenaikan cukai tersebut termasuk nafta, minyak pelincir dan minyak jet, manakala motorsikal kecil, tayar dan etil alkohol dikecualikan daripada cukai tersebut untuk mengurangkan beban kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah. 
Bagaimanapun, harga runcit bahan api akan dikekalkan pada paras semasa, bertentangan dengan jangkaan pasaran bagi pengurangan harga yang kesembilan sejak Julai. 
China melancarkan cukai penggunaan ke atas barangan pengguna dengan kos tenaga dan pencemaran yang tinggi pada 1994 sebagai panduan berhubung pengeluaran dan penggunaan ke arah mesra alam sekitar, serta menggalakkan model pertumbuhan ekonomi yang mampan. - Bernama