Jahirah yang dulunya seorang gadis periang namun kini terlantar menderita akibat ketumbuhan di peha dan kepala.
Jahirah yang dulunya seorang gadis periang namun kini terlantar menderita akibat ketumbuhan di peha dan kepala.
CHENOR - Seorang gadis berusia 23 tahun di Kampung  Bukit Lada dekat sini menanggung derita sejenis kanser dengan ketumbuhan bersaiz besar di peha dan kepala sejak tiga tahun lalu.

Ketumbuhan itu menyebabkan anak bongsu dari sembilan beradik, Jahirah Abdul Rahim hilang upaya berjalan dan susut berat badan secara mendadak.

Bapa, Abdul Rahim Awang Kenit, 66, berkata, pada  peringkat awal, ketumbuhan yang tidak mendatangkan sebarang kesakitan itu dianggap normal memandangkan tubuh badan anaknya yang sedikit gempal.

Menurutnya, setahun berlalu, Jahirah hilang upaya berjalan selepas ditemui terbaring di bilik mandi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlaku pertumpahan darah.

Katanya, ketika ketumbuhan itu membesar, mereka pernah bawa Jahirah ke sebuah hospital pakar di Kuantan, namun kos rawatan mencecah RM10,000 dikenakan sekiranya mahu menjalani rawatan pengimbasan bagi mengetahui penyakit tersebut.

“Disebabkan tidak mampu, kami hanya bawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh  sebelum dirujuk ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Pihak hospital hanya maklum ia sejenis kanser, namun tiada rawatan lanjut atau sebarang pembedahan dicadangkan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, situasi itu menyebabkan dia sekeluarga buntu dan keadaan bertambah teruk apabila ketumbuhan di peha Jahirah pecah mengeluarkan darah yang banyak pada Julai lalu.

Katanya, tiada apa dapat dilakukan selain rawatan mencuci sementara tumor di kepala yang kadangkala membesar dan mengecut sehingga mengakibatkan penglihatan Jahirah kabur.

“Kami hanya mampu berdoa kerana buntu berikutan  tiada sebarang rawatan yang dicadangkan pihak hospital.

“Saya akui belum lagi memohon bantuan daripada  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi saya amat  perlukan bantuan tersebut untuk tampung belanja lampin pakai buang dan kos ulang-alik ke HoSHAS,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan  boleh lakukan menerusi akaun Bank Islam Abdul Rahim, 0602802463137 atau hubungi talian 019-9974637.