Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan DSB melaporkan, urusan tersebut telah bermula kelmarin dan antara serpihan yang mula dibawa keluar adalah bahagian ekor pesawat.
Jelas kenyataan berkenaan, usaha membawa keluar serpihan pesawat itu diteruskan lagi hari ini memandangkan situasi yang mengizinkan dan proses berkenaan akan diteruskan selama lima hari lagi.
“Serpihan pesawat MH17 yang dibawa keluar dari kawasan nahas akan ditempatkan di Kharkiv sebelum dihantar ke Belanda menggunakan perkhidmatan kereta api,” tambah laporan itu.
Sementara itu, pasukan penyiasat turut menemukan cebisan baharu mayat mangsa nahas pesawat itu, ketika proses mengeluarkan serpihan pesawat dilakukan sejak dua hari lalu.
Menurut DSB, kesemua cebisan mayat yang ditemukan itu akan diserahkan kepada pasukan forensik di Kharkiv sebelum dihantar ke Belanda untuk siasatan lanjut.
Berdasarkan laporan akhir Kementerian Kehakiman dan Keselamatan Belanda, sebanyak 289 daripada 298 mayat mangsa nahas itu telah dikenal pasti.