Peter Siebold
Pete Siebold, 43, hanya mengalami kecederaan bahu dalam nahas pada Jumaat lalu apabila pesawat syarikat Virgin Galactic meletup di udara pada sesi ujian, menyebabkan pembantu juruterbang, Michael Alsbury, 39, terbunuh.
Pemangku Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Christopher Hart yang mengetuai siasatan itu berkata, Siebold dipercayai tidak keluar menggunakan pintu kokpit untuk menyelamatkan diri.
“Kami tahu Siebold tidak keluar menggunakan pintu tersebut dan menimbulkan persoalan bagaimana dia dapat melepaskan diri ketika pesawat itu bergerak pada kelajuan bunyi.
“Malah pada ketinggian itu, bekalan oksigen sangat sedikit, tetapi dia masih terselamat,” kata Hart seperti yang dilaporkan portal Mail Online.
Mangsa kini dirawat di hospital dan masih belum memberi sebarang kenyataan kepada pasukan penyiasat.
Dalam pada itu, seorang pakar kajian ‘faktor manusia’ akan menyertai siasatan berkenaan bagi merungkai misteri mengapa Alsbury terlalu awal membuka sistem sayap bahagian ekor pesawat semasa ujian berkenaan.
Pembukaan terlalu awal sistem sayap bahagian ekor pesawat yang berfungsi untuk memperlahankan SpaceShipTwo ketika memasuki ruang atmosfera dari angkasa, dilihat sebagai punca utama kemalangan, sekali gus menguatkan dakwaan bahawa insiden itu berlaku disebabkan kesilapan manusia.
Namun, Hart berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sedemikian.
“Kami sudah mengetahui untuk mengunci atau membuka pangsi bahagian ekor memerlukan faktor manusia di dalam pesawat itu.
“Tetapi persoalannya, bagaimana kesilapan itu boleh berlaku sehingga menyebabkan pesawat tersebut meletup,” katanya.