Penyokong Republikan bersorak gembira sejurus parti itu meraih kerusi majoriti Senat.
Penyokong Republikan bersorak gembira sejurus parti itu meraih kerusi majoriti Senat.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Parti Republikan berjaya menguasai semula Dewan Senat selepas memenangi majoriti dengan memperoleh sekurang-kurangnya tujuh kerusi dalam pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat (AS) yang turut dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada presiden Barack Obama.

Keputusan pemilihan itu menunjukkan parti pembangkang AS terbabit juga berjaya merampas kerusi daripada parti Demokratik di Montana, Colorado, West Virginia, South Dakota dan Arkansas lapor Press TV.

Jutaan pengundi menunaikan kewajipan mereka untuk memilih 36 senator, 36 gabenor dan 435 anggota Dewan Perwakilan dalam pilihan raya tersebut.

Difahamkan, pusingan kedua pilihan raya terbabit mungkin akan diadakan pada bulan depan hingga Januari melibatkan negeri yang disertai lebih daripada satu calon senator.

Proses pengundian tersebut adalah sebagai referendum terhadap dasar presiden terbabit yang gagal mengembangkan ekonomi AS hingga menyebabkan rakyat mula mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai pemimpin.

Beberapa penganalisis percaya kuasa dan pengaruh Republikan yang lebih besar dalam Kongres didakwa akan menyukarkan lagi pentadbiran Obama untuk tempoh dua tahun lagi.