Friday, December 19, 2014

Peguam mohon 'mistrial' kes Mejar Zaidi


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pasukan peguam Mejar Zaidi telah memohon Mahkamah Tentera mengisytiharkan perbicaraan beliau sebagai 'mistrial' kerana mahkamah tersebut tidak mampu lagi untuk menegakkan keadilan kepada si tertuduh.
Ketua pasukan peguam Mejar Zaidi, Mohamed Hanipa Maidin memulakan hujah beliau di Mahkamah Tentera hari ini dengan menyatakan bahawa beliau berhujah dalam keadaan protes kerana perbicaraan ke atas anakguamnya telah mencapai satu tahap di mana keadilan tidak mungkin dapat lagi ditegakkan oleh mahkamah kerana sikap tidak memihak mahkamah (the court's impartiality) telah terjejas.
Ini kerana, hujah Hanipa, pengerusi Koram Mahkamah iaitu Kolonel Saadon Hasnan telah membuat satu komen yang memprejudiskan Mejar Zaidi di portal Malaysiakini semasa perbicaraan kes ini masih berjalan di mahkamah.
Mejar Zaidi telah membuat aduan kepada pihak tentera tentang isu tersebut dan sehingga kini ia tidak pernah disiasat sedangkan apabila beliau membuat laporan polis isu dakwat kekal pihak tentera telah membuka kertas siasatan ke atas beliau.
Hanipa juga berhujah adalah satu keganjilan untuk mahkamah meminta peguambela Mejar Zaidi berhujah di akhir kes pembela dalam keadaan integriti dan kebebasan mahkamah yang membicarakan Mejar Zaidi dipersoalkan dan dicabar oleh tertuduh yang dibicarakan di mahkamah itu sendiri.
Oleh itu, Hanipa berhujah satu satunya jalan penyelsaian kepada hal tersebut adalah dengan mahkamah mengisytiharkan mistrial.
Mistrial merujuk kepada keadaan di mana sesuatu perbicaraan di mahkamah tidak lagi mampu dikendalikan mengikut prinsip-prinsip keadilan.
Hanipa kemudiannya dihalang oleh mahkamah dari berhujah isu mistrial tersebut atas alasan isu itu tidak boleh dihujahkan di Mahkamah Tentera sebaliknya ia seharusnya dibangkitkan di depan pihak berkuasa sidang.
Hanipa bagaimanapun bertegas menyatakan mistrial boleh dihujahkan oleh peguam di mana mana mahkamah apabila proses keadilan perbicaraan dipersoal dan dipertikai dan mahkamah adalah forum yang layak mendengar dan memutuskan perkara tersebut.
Hanipa menyatakan "bagaimanakah kami ingin menyampaikan hujah mistrial ini di depan Pihak Berkuasa Sidang sedangkan mereka bukan pihak yang mendengar kes ini dan tidak ada di mahkamah ini untuk mendengar hujah kami ini".
Mahkamah kemudiannya menangguhkan pendengaran selama 15 minit untuk berbincang dan memutuskan isu tersebut.
Selepas mahkamah diteruskan semula, Yang Dipertua Mahkamah memutuskan peguambela tidak dibenarkan berhujah isu mistrial dan diminta berhujah isu lain.
Hanipa menyatakan beliau tidak ada isu lain yang akan dihujah kerana mengambil kira insiden yang berlaku dalam kes ini yang melibatkan pengerusi mahkamah membuat komen sebelum keputusan kes dibuat dan semasa kes masih dalam perbicaraan hanya isu mistrial yang relavan untuk dihujahkan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh keputusan kes pada 7 Januari 2014.
Sementara itu Hanipa memaklumkan kepada mahkamah bahawa anakaguamnya telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Pihak Berkuasa Sidang yang enggan membubarkan Mahkamah Tentera meskipun wujudnya keterangan yang tidak dicabar bahawa Yang Dipertua Mahkamah, Kolonel Saadon telah memberi komen di Malaysiakini tentang kes ini sebelum mahkamah memutuskan meminta Mejar Zaidi dipanggil membela diri bagi dua pertuduhan pindaan.
Mejar Zaidi dituduh dengan 7 pertuduhan di mana beliau telah dibebaskan 5 daripada pertuduhan tersebut.
Pendakwaan ke atas beliau melibatkan isu laporan polis yang dibuat oleh beliau berkaitan isu dakwat kekal yang tidak kekal.
Beliau diwakili oleh Nasar Khan, Aminudin Zulkifli, Azhana Mohd Khairudin dan Mohamed Hanipa Maidin. - HARAKAHDAILY 19/12/2014

No comments:

Post a Comment