Monday, January 26, 2015

Ukraine bincang tindak balas


BEBERAPA buah kereta hangus selepas serangan roket mengenai sebuah kawasan penempatan di bandar Mariupol, Ukraine kelmarin. - AGENSI


KIEV – Presiden Petro Poroshenko mempengerusikan satu mesyuarat keselamatan tergempar semalam berhubung serangan terbaharu oleh pemberontak pro-Rusia selepas bedilan roket di sebuah bandar pelabuhan utama di Ukraine meragut 30 nyawa.
Polis Ukraine menyatakan, seramai 95 orang turut cedera apabila berpuluh-puluh roket jarak jauh mengenai sebuah kawasan penduduk dan pasar di bandar pelabuhan Mariupol kelmarin. Bandar berkenaan dikuasai oleh tentera Ukraine.
Serangan itu meningkatkan tekanan dunia terhadap Rusia untuk mengekang pemberontakan di Ukraine dan menamatkan konflik selama sembilan bulan yang sehingga kini menyebabkan 5,000 orang terbunuh.
“Presiden Rusia, Vladimir Putin secara langsung bertanggungjawab terhadap kematian, darah dan kesengsaraan rakyat Ukraine,” kata ketua Majlis Keselamatan Dan Pertahanan Negara, Oleksandr Turchynov kelmarin.
Pemerintah Ukraine mengisytiharkan satu hari berkabung untuk mangsa serangan itu dengan bendera negara di semua wilayah yang dikuasai kerajaan dikibarkan separuh tiang manakala perkhidmatan tren di sini dihentikan selama seminit semalam.
“Situasi di Mariupol kini amat berbahaya,” kata seorang penduduk bandar berkenaan, Yulia Simina.
Menurut wanita berusia 27 tahun itu, dia berpindah ke Mariupol untuk mengelak daripada menjadi mangsa pertum­pahan darah di kawasan Donetsk, timur Ukraine yang dikuasai pemberontak pro-Rusia.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua pemberontak, Ale­xander Zakharchenko mendakwa kelmarin bahawa pihaknya telah melancarkan serangan ke atas bandar Mariupol.
Serangan ke atas Mariupol yang merupakan bandar terakhir dikawal tentera kerajaan di timur Ukraine itu menerima kecaman Barat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3PsldeV4J 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment