Tristan Loraine
Fenomena tersebut dikenali sebagai sindrom Aerotoksik, satu situasi yang sudah lama diketahui oleh pihak berkuasa termasuk syarikat penerbangan, namun tidak didedahkan kepada umum.
Seorang bekas kapten pesawat yang mempunyai pengalaman selama 19 tahun, Tristan Loraine berkata, dia yang bertugas dengan syarikat penerbangan British Airways, dipaksa bersara pada 2006 kerana masalah kesihatan.
Portal berita Daily Mail melaporkan, beliau mengalami kebas di jari tangan dan kaki, loya, dan luka di hidung, simptom yang konsisten dengan sindrom Aerotoksik, terma yang digunakan oleh doktor dan saintis untuk menerangkan masalah fizikal dan neurologi dipercayai berlaku akibat terdedah kepada pelbagai bahan kimia melalui sistem pengudaraan kabin.
Seorang pakar Biolab Medical Unit di London, Dr. Jenny Goodman yang merawat banyak krew kabin dan juruterbang menyatakan, penyakit itu terjadi kepada mereka yang menaiki pesawat selama bertahun-tahun.
Pandangan itu dikongsi oleh ahli perubatan penerbangan, Dr. Michel Mulder yang merawat 180 juruterbang, anak kapal, dan penumpang yang mengalami simptom tersebut.
“Dalam ujian DNA, kesemua pesakit terbabit menunjukkan bahan organofosfat yang ditemukan dalam minyak enjin jet berada di dalam badan mereka, menyebabkan pesakit mengalami masalah kesihatan,’’ katanya.
Sindrom Aerotoksik pertama kali dicadangkan dalam terma perubatan pada 1999 oleh tiga pakar termasuk seorang doktor tentera Amerika Syarikat (AS), dan mempersoalkan pencemaran udara dalam penerbangan.
Kebanyakan pesawat dipasang dengan sistem yang mana udara dalam kabin dipam dari enjin pesawat dalam keadaan yang ditakrifkan sebagai ‘pendarahan udara’ kerana udara itu dikeluarkan dari seksyen pemampatan enjin di mana minyak melincirkan enjin.
Terdapat penutup atau pelindung yang direka untuk memisahkan udara itu dan minyak, namun penyelenggaraan yang tidak mencukupi atau sudah usang menyebabkan berlakunya kebocoran, menyebabkan minyak panas itu mencemarkan udara.
Dalam jumlah yang kecil, toksin dalam minyak enjin tidak berbahaya, namun kebanyakan pakar bersetuju pendedahan dalam jangka panjang boleh menjejaskan kesihatan termasuk masalah pernafasan dan neurologikal selain kanser otak.