Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihak berkuasa agama negeri mempunyai peruntukan kuasa undang-undang bagi memelihara kesucian Islam.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terletak di bawah Kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa itu, sebaliknya jabatan itu hanya sebagai penyelaras bagi aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan.
“Jakim tidak ada kuasa dalam isu itu kerana kuasa undang-undang terdapat dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Apabila orang tanya tentang apakah tindakan Jakim, ramai yang salah faham.
“Jakim cuma sebagai penyelaras dan dalam isu ini, saya menyeru pihak berkuasa yang terbabit beri perhatian,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2014 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaffar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya.
Jamil Khir diminta mengulas isu klip video bertajuk Hudud Isi Periuk Nasi? oleh Aisyah Tajuddin dan dimuat turun radio BFM di YouTube yang mempersendakan hudud sehingga mencetuskan kecaman umat Islam baru-baru ini.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad yang ditemui dalam majlis itu berkata, pihak terbabit seperti Jakim seharusnya memanggil Aisyah dan pihak yang menerbitkan klip video tersebut.
“Mereka ini perlu dipanggil dan diberi penerangan tentang hukum hudud, mungkin mereka tidak faham tentang hukum itu. Siasatan juga kena dilakukan untuk mengetahui apakah tujuan sebenar klip video itu dihasilkan,” ujarnya.