Mohd. Amar Nik Abdullah
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sepanjang berada bersama pakatan pembangkang, Pas sudah beberapa kali disisihkan rakan sekutu sehingga terpaksa berjuang bersendirian dalam pelbagai isu.
Sehubungan itu, katanya, beliau yakin Pas tetap boleh 'hidup' sekiranya suatu hari nanti pakatan pembangkang ditakdirkan berpecah.
“Kalau betul PKR pun tak nak bersama kita, kita terima hakikat. Kita tak boleh paksa dia ikut juga. Apa yang penting kita kena teruskan hudud sebab ini memang perjuangan Pas.
“Andai Pas balik ke asal iaitu bersendirian pun kita terima hakikat, tetapi sejarah membuktikan kita tetap boleh `hidup’ walaupun sudah beberapa kali bersendirian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pas kini bersendirian tanpa restu pakatan pembangkang untuk memperjuangkan pelaksanaan hudud di Kelantan selepas PKR memutuskan mengikut langkah DAP untuk tidak menyokong hasrat parti itu membentangkan rang undang-undang berkenaan di Parlimen.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR semalam dan kenyataan mengenai­nya ditandatangani Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan kepemimpinan tertinggi parti itu.
Mohd. Amar yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud dalam pada itu menegaskan, jika PKR dan DAP terus membantah dan menghalang usaha Pas, tindakan itu tidak menguntungkan kedua-dua parti tersebut.
Katanya, bantahan tidak sepatutnya berlaku kerana hanya akan merugikan keseluruhan pakatan pembangkang.