Tuesday, March 24, 2015

Sultan Ibrahim dimahkota sebagai Sultan kelima Johor moden

ISNIN, 23 MAC 2015 @ 10:42 AM

 
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, pagi ini.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Istiadat yang dipancarkan secara langsung melalui RTM, TV3 dan layar besar di Dataran Bandaraya, turut disaksikan ribuan rakyat bukan sahaja di Johor malah seluruh Malaysia.

Dalam masa yang sama, ia turut disaksikan bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.


Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, beserta anakanda-anakanda Sultan Ibrahim yang lain turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu.

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-Raja Melayu turut menyaksikan istiadat kemahkotaan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir.

Istiadat dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Bilik Singgahsana diikuti Lagu Bangsa Johor.

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin kemudiannya memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim bersama lafaz selawat dan Bismillah diikuti dengan pemakaian mahkota permaisuri 'Diadem' di kepala Raja Zarith Sofiah. - BERNAMA


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi tabit hormat sebelum menuruni Tangga Agong berangkat menaiki kenderaan rasmi untuk berarak di sekitar bandar raya Johor Bahru selepas Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar bagi bertemu rakyat. - Foto Aizuddin Saad

MUFTI Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsudin meletakkan Mahkota Kerajaan di atas kepala Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Sultan Johor kelima sambil diperhatikan Pemaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Besar, Johor Bahru hari ini. - Foto Ihsan Kerajaan Negeri Johor

No comments:

Post a Comment