SHAH ALAM - Kerajaan Selangor membatalkan perjanjian penstrukturan air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan selepas Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) meminta penangguhan buat kali ketiga.
 
Azmin Ali
Azmin Ali
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat kerana Kerajaan Persekutuan melanggar terma perjanjian pada September tahun lalu.
 
“Kerajaan Pusat melanggar terma perjanjian ditandatangani September 2014 menyebabkan kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan.
 
“Ketika saya menjadi menteri besar pada September tahun lalu, saya bersedia untuk meneruskan perjanjian ini, namun Kerajaan Persekutuan gagal memenuhinya bahkan meminta lanjutan tempoh,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
 
Beliau berkata, Selangor tidak mempunyai sebarang pilihan lain selain membatalkannya.
 
“Apa pilihan yang kita ada? Saya mahu melihat syarat baru yang mereka ingin bincangkan dengan kerajaan negeri,” katanya.
 
Keputusan drastik itu dilihat bakal menjejaskan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2.
 
Mengulas lanjut katanya, Kerajaan Persekutuan telah diberi dua kali tempoh lanjutan untuk menghormati perjanjian berkenaan iaitu pada 9 Januari dan 9 Februari tahun ini.
 
“Kerajaan Persekutuan mahu melanjutkan lagi hari ini pada 9 Mac, tetapi saya telah berkata tidak,” katanya.
 
Difahamkan, Timbalan Presiden PKR itu akan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan dalam sidang media di Parlimen, esok.