Indra Nooyi: Wanita penggerak PepsiCo
Indra Nooyi kini bergelar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PepsiCo sejak tujuh tahun lalu.
DI sebalik kejayaan PepsiCo, sebuah syarikat perniagaan makanan dan minuman kedua terbesar di dunia, terdapat seorang wanita yang berada di salah sebuah kedudukan tertinggi dalam pucuk pimpinan organisasi besar itu.
Mula menyertai syarikat itu pada 1994, Indra Nooyi kini bergelar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PepsiCo sejak tujuh tahun lalu.

Nyata, segala inovasi yang diperkenalkan wanita ini membuatkan syarikat mampu menjana keuntungan berbilion ringgit. Selain itu, sembilan produk PespsiCo juga tersenarai dalam 50 makanan dan minuman terlaris di Amerika Syarikat.

Nooyi juga disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 wanita paling berkuasa di dunia dalam senarai Forbes, di mana beliau berada di tempat ke-13 tahun lalu.

Kehidupan awal dan kerjaya

Indra Krishnamurthy Nooyi dilahirkan pada 28 Oktober 1955 di Madras, Tamil Nadu di India. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Tinggi India Holy Angels Anglo di Madras.
Pada tahun 1974, Nooyi menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik, Kimia dan Matematik dari Madras Christian College dan Diploma  Lepasan Ijazah Pengurusan (MBA) dari Institute of Management Calcutta pada 1976.

Memulakan karier awal di Johnson & Johnson sebagai pengurus produk dan sebuah firma tekstil Mettur Beardsell.

Dua tahun selepas itu, iaitu pada 1978 Nooyi menyambung pengajian di Yale School of Management dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam dan Swasta.

Ketika di Yale, Nooyi melengkapkan latihan industri musim panas dengan Booz Allen Hamilton. Selepas tamat belajar pada 1980, beliau menyertai Boston Consulting Group (BCG) sebelum memegang jawatan di bahagian strategi di Motorola dan Asea Brown Boveri.

Eksekutif di PepsiCo

Nooyi menyertai PepsiCo pada 1994 dan menjadi Ketua Pegawai Kewangan (CFO) pada 2001. Di syarikat itu, Nooyi telah mengetuai bahagian strategi global syarikat selama lebih 10 tahun dan membawa penyusunan semula PepsiCo, termasuk penyahlaburan restoran Tricon pada 1997, kini dikenali sebagai jenama Yum!.

Selain itu, Nooyi turut mengetuai pengambilalihan Tropicana pada 1998 dan penggabungan dengan syarikat Quacker Oat yang juga membawa masuk Gatorade ke PepsiCo.

Ia menjadi salah sebuah urus niaga makanan terbesar dalam sejarah korporat, sekali gus menambahkan pelbagai rangkaian produk bijirin dan makanan snek dalam empayar PepsiCo.

Menurut  Bloomberg Business, sejak beliau menjadi CFO pada 2001, hasil tahunan syarikat meningkat 72 peratus, manakala keuntungan bersih meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$5.6 bilion (RM24 bilion).

Kejayaan yang di kecapi Nooyi juga meletakkannya di tempat paling tinggi untuk wanita kelahiran India yang berada di kalangan barisan korporat Amerika.

Anugerah dan pengiktirafan antarabangsa

Majalah Forbes menyenaraikan Nooyi di tempat keempat pada 2008, dan pada 2009 hingga 2014 disenaraikan sebagai 100 wanita paling berkuasa di dunia.

Majalah Fortune meletakkan Nooyi di tempat pertama sebagai wanita paling berkuasa dalam perniagaan pada tahun 2006 hingga 2010.

Pada 2008 juga, Nooyi dinamakan sebagai salah seorang pemimpin terbaik Amerika oleh U.S. News & World Report.

Tahun sama pada 2008, Nooyi dipilih sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan India-AS (USIBC). Nooyi memimpin lembaga pengarah USIBC, dalam sebuah perhimpunan yang dihadiri lebih 60 eksekutif kanan yang mewakili pelbagai industri di Amerika.

Pernah diangkat sebagai CEO of the Year pada 2009 oleh Global Supply Chain Leaders Group.

Kehidupan peribadi

Kejayaan Nooyi dalam dunia perniagaan sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Susulan daripada itu, ramai pemerhati meramalkan satu hari nanti beliau akan mengetuai salah satu bahagian dalam syarikat seperti hari ini.

Difahamkan, Nooyi amat mementingkan budaya India di mana, beliau sering memakai sari ke pejabat walaupun bekerja jauh dari negara tempat lahirnya.

Ramalan bahawa pendidikan tingginya di Amerika bakal menjejaskan prospek perkahwinannya juga terbukti tidak benar apabila beliau berkahwin dengan seorang lelaki India, Raj, yang bekerja sebagai perunding pengurusan.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak perempuan.

Menurutnya, beliau sering menonton ulang tayang kejohanan Chicago Bulls untuk mengkaji konsep kerja berpasukan, dan mengaku otaknya bekerja merangka strategi 24 jam sehari.