Kedua-dua pemimpin negara itu juga berikrar untuk berusaha menamatkan permusuhan yang tercetus sejak Perang Dingin.
Dalam pertemuan tidak sampai satu jam itu, Obama mengucapkan terima kasih kepada Castro berhubung semangat terbukanya semasa interaksi mereka, manakala pemimpin komunis itu menegaskan rundingan antara kedua-dua pihak memerlukan kesabaran.
“Pertemuan ini merupakan satu sejarah. Kita kini berada di kedudukan untuk bergerak ke hadapan,’’ kata Obama selepas pertemuan tersebut, di luar Sidang Kemuncak Negara-negara Amerika Utara dan Amerika Selatan di sini.
Castro, 83, memberikan senyuman apabila Obama mengakui bahawa kedua-dua negara akan terus mempunyai perbezaan berhubung hak asasi manusia dan isu-isu lain.
Pemimpin komunis itu berkata, kedua-dua kerajaan boleh mempunyai perbezaan pandangan tetapi masih menghormati idea-idea antara satu sama lain.
“Kami bersedia membincangkan semuanya tetapi kita perlu bersabar, sangat bersabar.
“Kami sudah memaklumkan kepada negara-negara Amerika dalam beberapa kejadian berasingan mengenai persediaan untuk berbincang mengenai segala-galanya,’’ katanya.
Pertemuan tersebut merupakan acara kemuncak kepada pengumuman mengejut pada 17 Disember lalu untuk memperbaiki hubungan ke­dua-dua negara yang terputus sejak 1961 selepas rundingan secara rahsia selama setahun setengah. – AFP