China sekat rakyatnya ke Hong Kong
Hong Kong menerima jumlah pengunjung yang tinggi dari China.
HONG KONG - China akan mengehadkan lawatan penduduk di selatan bandar Shenzen ke negara jiran, Hong Kong, berikutan ketegangan berhubung pelawat yang semakin meningkat di tanah besar itu.

Menurut Ahli Kongres Rakyat Kebangsaan (NCP), Republik Rakyat China , Michael Tien, pihak berkuasa Shenzen akan menyekat penduduknya untuk satu lawatan ke Hong Kong setiap minggu berbanding perjalanan tanpa had sebelum ini.

"Ia pasti berlaku. Saya ada mendengar dari sumber kerajaan yang boleh dipercayai. Malah, media tempatan memaklumkan, sekatan perjalanan boleh berkuat kuasa seawal hari ini," katanya.

Difahamkan, langkah itu diambil selepas rasa tidak puas hati di Hong Kong berleluasa apabila semakin ramai penduduk China melawat bandar yang sememangnya telah padat dengan penduduk tempatan.

Tahun lalu, sekitar 47 juta rakyat China masuk ke Hong Kong, atau enam kali ganda lebih tinggi daripada penduduk di wilayah bekas jajahan Britain itu. - Reuters