BAGHDAD - IRAQ, Kumpulan militan IS dilapor menembak mati empat komander kanannya di wilayah utara Salahuddin, selepas mereka didakwa melarikan diri semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan Iraq.

Sumber keselamatan berkata, hukuman itu dilaksanakan di pinggir bandar Shiqrat selepas menerima arahan daripada pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi.

Menurut sumber itu lagi, kesemua komander terbabit melarikan diri semasa pertempuran di bandar Muqdadiyah dan berjaya ditahan semula dua bulan lalu.

Pada Februari, IS turut menembak mati puluhan anggotanya di bandar Tal Afar kerana melarikan diri semasa pertempuran dengan pejuang Pashmerga.

Dalam perkembangan berkaitan, IS dilapor menculik hampir 120 pelajar sekolah di selatan dan barat bandar Mosul.

Rangkaian TV satelit Iraq, al-Sumaria melaporkan pelajar terbabit diculik di beberapa sekolah di al-Qayyarah, al-Shura, Badoush dan al-Baaj pada Ahad.

Sehingga semalam, nasib pelajar terbabit tidak diketahui. - Press TV