Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA TERENGGANU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap tidak patut bertindak mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka.

Ahli Jawatankuasa Biro Perangan Umno Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, Dr Mahathir turut mempunyai beberapa persoalan yang masih belum dijawab sehingga kini ketika zaman pentadbirannya.

Sehubungan itu menurutnya, tidak sepatutnya Dr Mahathir melakukan tindakan menggesa Najib menjawab tuduhan terhadap kepimpinannya seolah-olah menggambarkan kepimpinan Najib lemah .

“Kritikan Dr Mahathir tidak boleh diterima seratus peratus. Kalau hendak kira, masa Dr Mahathir perintah dulu ada beberapa isu seperti Petronas dan KWSP tidak dijawab sampai sekarang.

“Jadi, biarlah Dr Mahathir dengan cara dia tetapi saya rasa tiada siapa setuju dengan cara beliau terhadap Najib itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Abu Bakar bagaimanapun tidak menolak apa yang dikatakan Dr Mahathir itu boleh mempengaruhi rakyat disebabkan beliau mempunyai pengaruh tersendiri dalam negara.

Dr Mahathir dalam blognya, chedet.cc sebelum ini mendakwa rakyat tidak mempercayai kepimpinan Najib lagi.

Dr Mahathir sebelum ini lantang menegur kepimpinan dua perdana menteri selepasnya, bukan sahaja Najib tetapi termasuk Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam blognya, Dr Mahathir berkata, ramalan yang dibuat masyarakat kini ialah Umno dan BN akan kalah dalam PRU14 kerana terlalu banyak tuduhan dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.

Selain itu Dr Mahathir berkata, rakyat hilang kepercayaan kepada Najib kerana dasar pemerintahan beliau terhad kepada pemberian wang percuma serta menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan mengetepikan Dasar Ekonomi Baru.