Wednesday, April 8, 2015

Kes Rafizi Dedah Penyata Akaun NFC Dibicara 27 April


Diterbitkan: Selasa, 7 April 2015 4:55 PM
Mohd Rafizi Ramli.

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 27 April ini untuk perbicaraan kes Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli dan seorang kerani bank yang menghadapi tuduhan mendedahkan maklumat sulit perbankan berkaitan isu National Feedlot Corporation (NFC), tiga tahun lepas.
Hakim, Rozina Ayob turut menetapkan tarikh perbicaraan pada 26, 27 dan 28 Mei ini ketika kes itu disebut di hadapannya pada Selasa.
Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menolak rayuan Mohd Rafizi yang juga Anggota Parlimen Pandan berhubung tuduhan itu berikutan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang berasal dari Mahkamah Sesyen.
Mohd Rafizi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Mei 2013 yang menolak permohonannya untuk mengetepikan tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) tersebut dengan alasan rayuan beliau tidak mempunyai merit.
Pada 10 September 2012, Setiausaha Agung PKR itu memfailkan permohonan untuk mengetepikan tuduhan tersebut. Beliau mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Rayuan setelah permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 November 2012.
Mohd Rafizi, 38, mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho. 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012. 
Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 
Kerani bank, Johari Mohamad, 44, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama. 
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bafia, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

No comments:

Post a Comment