Tuesday, September 1, 2015

MT perlu rasional sebelum pecat Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin YassinTan Sri Muhyiddin Yassin

MUAR - Majlis Tertinggi (MT) Umno diminta supaya lebih rasional  membuat keputusan untuk memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat MT pada 9 September ini.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, sebarang keputusan yang hendak dibuat perlu melihat serta mengutamakan  kehendak dan suara akar umbi  demi masa depan parti.

“Dalam keadaan politik negara yang tidak stabil ini, sekiranya tindakan tersebut dibuat (pecat Muhyiddin) dikhuatiri akan mencetuskan lagi  kemarahan rakyat pada tahap yang luar biasa.

“Kita semua sedia maklum  bahawa orang Johor  telah  terluka apabila Muhyiddin digugurkan daripada senarai kabinet baharu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bimbang perkara tidak diingini berlaku  jika Ahli Parlimen Pagoh diturunkan (Timbalan Presiden Umno) khususnya dalam bahagian  Pagoh itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kemarahan rakyat masih lagi boleh bertahan apabila Muhyiddin disingkirkan sebagai pemimpin nombor dua negara kerana akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bagaimanapun tidak boleh menafikan kuasa rakyat yang memilih Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno atas faktor keyakinan mereka terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Saya risau jika suara rakyat diketepikan akan mendorong rakyat melakukan tindakan di luar kawalan yang akhirnya boleh menjejaskan parti dan negara.  Dengan sebab itu, saya berharap MT lebih memikirkan suara rakyat berbanding kehendak tertentu,” katanya.

Katanya, jasa dan sumbangan besar  Muhyiddin kepada  Umno selama lebih 40 tahun perlu dikenang kerana beliau  pernah bertanggungjawab menghidupkan semula Umno semasa diharamkan pada 1988.

Ismail berkata, Muhyiddin yang ketika itu Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Melayu Johor (PMJ) di Johor Bahru telah mencetuskan satu resolusi yang kemudian diperkenan Sultan Johor sebelum berjaya menghidupkan parti keramat tersebut

No comments:

Post a Comment