Thursday, October 29, 2015

7 pemimpin UMNO mungkin digantung, gugur jawatan


Kuala Lumpur: Tujuh pemimpin UMNO yang kini sedang disiasat berhubung kenyataan terbuka mereka yang boleh menjejaskan parti mungkin berhadapan tindakan digantung parti dan digugurkan daripada jawatan.

Enggan mendedahkan nama pemimpin terbabit, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata satu jawatankuasa khas sedang menyiasat perkara itu dan keputusannya akan dibentangkan pada Majlis Presiden UMNO sebelum dibawa ke Jawatankuasa Disiplin parti.


"Sebaik proses berjalan, kami akan menggantung keahlian mereka dan menggantung apa jua jawatan yang mereka pegang," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Menegaskan UMNO mempunyai perlembagaan dan kod etika yang harus dipatuhi setiap anggotanya, Tengku Adnan berkata: "Kami tidak boleh terima apa-apa yang karut lagi...bagi kami jika anda tidak percaya kepada perjuangan parti, anda boleh tinggalkan parti.



"Kami tidak mahu individu yang menjadi 'gunting dalam lipatan', 'duri dalam daging' dalam parti, kami tidak boleh terima," katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pada awal bulan ini, mengumumkan UMNO sedang memantau serius tujuh pemimpin parti itu yang dikatakan melanggar disiplin parti untuk diambil tindakan.

Kebelakangan ini, beberapa pemimpin UMNO, dilaporkan menyertai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengeluarkan kenyataan mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 7:20 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88959#sthash.3qSR89Fd.dpuf

No comments:

Post a Comment