Thursday, October 29, 2015

Tindakan terhadap ahli minta Presiden UMNO letak jawatan - Isa Samad


Oleh Ifwan Tun Tuah

PORT DICKSON: UMNO Bahagian Telok Kemang akan memohon Jawatankuasa Disiplin parti untuk mengenakan tindakan tegas kepada ahli dan ketua cawangan yang mendesak Datuk Seri Najib Razak, meletak jawatan sebagai Presiden parti.
Ketua Bahagian, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata pihaknya sedang membuat laporan penuh mengenai perkara itu dan akan menghantarnya kepada ibu pejabat parti esok.
Beliau berkata, kumpulan yang membuat sidang media mengenai perkara itu semalam, mendakwa mereka mewakili 13 cawangan, namun sebenarnya hanya lima ketua cawangan dikenal pasti terbabit.
"Kita kesal dengan tindakan kumpulan ini kerana mencemarkan amalan membuat keputusan secara kolektif yang kita hormati selama ini.
"UMNO bahagian Telok Kemang pada mesyuarat perwakilan UMNO sebelum ini sebulat suara meluluskan usul menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
"Tiada mana-mana bahagian membuat usul untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan ketika itu," katanya selepas menghadiri majlis perasmian bangunan MCA Telok Kemang, di sini, hari ini.
Semalam, sekumpulan ahli UMNO Bahagian Telok Kemang, yang mendakwa mewakili 13 cawangan membuat sidang media di sini, mendesak Presiden parti meletak jawatan kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.
MOHD Isa dan timbalannya, Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar (duduk tiga dari kiri) bersama ketua Ketua Cawangan UMNO Bahagian Telok Kemang menyatakan sokongan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO pada sidang media di Ibu pejabat UMNO Telok Kemang, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

No comments:

Post a Comment