Thursday, October 29, 2015

Pulih dari lumpuh ketika di Makkah




Oleh Noor Atiqah Sulaiman 


FATIMAH Abd Latif, 60 boleh berjalan semula setelah hampir lima tahun mengalami lumpuh separuh badan sebelum berlepas menunaikan haji tiba di KLIA bersama jemaah haji penerbangan terakhir. - Foto Mohd Fadli Hamzah
SEPANG: "Apa yang saya doakan di depan Kaabah menjadi kenyataan apabila kaki kiri yang selama ini lumpuh, akhirnya boleh digerakkan sejurus selepas bangun subuh," kata Fatimah Abd Latif, 60.
Beliau adalah antara 454 jemaah haji kumpulan terakhir yang tiba Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, selepas menunaikan rukun Islam kelima itu di bawah kelolaan Tabung Haji.
Bagi Fatimah, tiada kata-kata yang boleh diungkap melainkan rasa syukur kerana boleh berjalan seperti sedia-kala sedangkan sebelum ini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selepas lumpuh separuh badan kira-kira lima tahun lalu.
"Pada ketika itu, saya seperti tidak percaya kerana kaki kiri sudah boleh bergerak, malah saya turut meminta anak perempuan untuk melihat apakah yang saya rasakan ini benar-benar terjadi. 
"Saya cuba jalan dengan melangkah tiga tapak terlebih dahulu, kemudian saya teruskan perjalanan ke Masjid Nabawi dengan perasaan yang bercampur-baur," katanya.
Ketibaan Fatimah bersama jemaah lain menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH8239 jam 12.30 tengah hari, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.  
Fatimah berkata, sebelum ini, jika mahu mengangkat sehelai kain pun beliau tidak mampu, apatah lagi untuk menggerakkan tangan atau kakinya. 
"Selama ini saya bergerak menggunakan kerusi roda. Ketika tiba di Makkah dan menunaikan wukuf di Arafah pun saya masih memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Kerusi roda itu seperti rakan baik saya.
"Tetapi kini saya pulang dan mampu berjalan. Walaupun bergerak perlahan dan masih memerlukan pertolongan anak atau menantu untuk berpaut, tetapi ia lebih baik daripada terus berkerusi roda," katanya yang teruja untuk pulang ke tanah air untuk berkongsi kegembiraan itu dengan keluarga.
Fatimah juga mahu menjadikan 'peluang' yang diberi kepadanya itu sebagai iktibar untuk lebih prihatin dalam soal makan minum kerana beliau lumpuh dahulu disebabkan angin ahmar.
"Kini, saya bukan sahaja boleh berjalan, malah boleh menggerakkan tangan serta mengangkat barang. Saya benar-benar bersyukur dan berharap supaya keadaan ini berkekalan sehingga akhir hayat," katanya.

No comments:

Post a Comment