Friday, October 23, 2015

Peluang Tipis Singkir Najib - Tun M


Diterbitkan: Khamis, 22 Oktober 2015 10:23 PM
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mengakui bahawa peluang untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatannya sebelum pilihan raya 2018 adalah tipis.

Negarawan berusia 90 tahun itu yang memimpin Malaysia selama 22 tahun telah menggesa Najib meletak jawatan berikutan dakwaan rasuah dan salah urus dana milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi Dr Mahathir mendakwa ahli Parlimen Umno melindungi pemimpin mereka, dan mengecam mereka kerana tidak bersuara.

"Kesemua mereka takut dan mereka menjaga keselamatan mereka sendiri. Mereka tidak menjaga parti, negara. Semuanya tentang diri mereka sendiri.

"Dia mungkin akan kekal sehingga tamat penggal. Umno menerima caranya kerana mereka mendapati dia selesa untuk bersama, saya fikir dia boleh bertahan sehingga tamat penggal," katanya ketika ditemubual oleh Reuters di pejabatnya di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.

Dr Mahathir pernah menyokong Najib tetapi mengubah pendiriannya pada tahun 2013 dengan mengkritik dasar-dasar ekonomi Kerajaan dan keramahan dengan Barat.

Bekas pemimpin itu menuntut Najib berundur selepas laporan penyiasat pada bulan Julai mendakwa terdapat salah laku dalam 1MDB dengan pengesanan bayaran sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) masuk ke akaun bank peribadi Perdana Menteri.

Najib menafikan mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadi dan Reuters belum mengesahkan laporan tersebut.

Pemimpin pembangkang telah menggesa semua ahli Parlimen supaya menolak bajet tahunan yang akan dibentangkan Najib kepada Parlimen pada Jumaat sebagai tanda hilang keyakinan terhadap beliau.

Mereka juga cuba mengemukakan undi tidak percaya secara rasmi terhadap Perdana Menteri.

Tetapi Dr Mahathir berkata langkah-langkah itu akan gagal kerana pembangkang tidak mempunyai angka untuk mencabar parti pemerintah.

"Hakikatnya ialah, pembangkang tidak mampu untuk mengumpul orang yang cukup untuk menyokong usul itu. Oleh itu, kerajaan yang mempunyai lebih banyak sokongan di Parlimen, akan menolaknya."

Beliau mendakwa ahli Parlimen Umno takut Najib mengambil tindakan terhadap mereka, sementara ada juga yang berasa sudah 'selesa'.

Najib sebelum ini telah bertindak keras terhadap pembelot dalam kerajaan yang dipimpinnya apabila menyingkirkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri lain yang kritikal terhadap pentadbirannya.

Dr Mahathir juga berkata beliau bimbang berikutan laporan bahawa polis sedang menyiasat beliau kerana didakwa membuat komen berunsur fitnah semasa perhimpunan membantah kepimpinan Najib.

"Saya takut, bukan kerana apa, tetapi kerana manipulasi keadilan, manipulasi undang-undang. Sedangkan mengikut undang-undang, saya tidak berbuat sesuatu yang salah," katanya.

No comments:

Post a Comment