PETALING JAYA – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendesak Charles Suresh Morais membuat laporan polis berkenaan maklumat dimiliki berkaitan kematian abangnya, bekas Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, mendiang Anthony Kevin Morais.
Timbalan Presiden PMSP, Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata, kenyataan Charles bahawa terdapat tandatangan ringkas dikenal pasti milik Kevin bertulis ‘AKM’ pada draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  amat meragukan.
“Pada draf kertas pertuduhan disiarkan Sarawak Report beberapa bulan lalu, terdapat satu pembetulan yang dibulatkan.
“Pada pembetulan itu, terdapat tandatangan ringkas. Apabila kami membuat semakan tidak terdapat perkataan ‘AKM’ pada draf tersebut. Draf ini didapati palsu kerana banyak kesilapan dan ia disahkan Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang media, semalam.
Menurutnya, Charles sepatutnya membuat laporan polis dan bukannya akuan bersumpah.
“Kami beri tempoh tujuh hari kepada beliau untuk buat laporan polis dan menyerahkan segala maklumat termasuk pemacu USB yang didakwa mempunyai maklumat penting kepada polis,” katanya.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, sebelum ini, menegaskan Kevin tidak terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan menolak dakwaan bahawa pembunuhannya ada kaitan dengan kes itu.
PDRM akan memanggil Charles berhubung laporan beliau ada maklumat tertentu berkaitan kes pembunuhan abangnya itu.