KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berasa kesal dengan keputusan Dun Sabah yang mengharamkan beliau dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua daripada memasuki Sabah.
Beliau menegaskan halangan itu sebenarnya tidak berasas kerana majlis itu merupakan anjuran pelbagai pihak dan bukannya Jacel Kiram.
"Ia bukan sahaja dianjurkan Institut Demokrasi di Asia bahkan ditaja oleh pejabat Timbalan Presiden Filipina, dan Datuk Bandar Manila, Joseph Estrada," katanya di luar pekarangan ibu pejabat polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN:  Izzah tidak rela digelar pengkhianat]
[ARTIKEL BERKAITAN: Biar pengharaman jadi pengajaran]
Nurul Izzah juga menegaskan, tiada apa yang perlu disembunyikannya di sebalik pertemuan kontroversi itu dan beliau sedia memberikan penjelasan kepada pihak polis.
"Hari ini saya menawarkan dan menyerah diri untuk menjawab persoalan termasuk tiada pembuktian di sebaliknya.
"Tiada sebab saya dan YB Tian Chua perlu diharamkan (ke Sabah)," ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah mempertahankan bahawa gambar itu telah dimuat naik Jacel sendiri dalam akaun Facebooknya.
"Saya bukan pengkhianat negara, saya sayangkan Malaysia dan sekali lagi saya akan pertahankan kedaulatan Sabah," katanya lagi.