Secara ringkasnya, Republik Dominica memperoleh kemerdekaan daripada Haiti pada 1844 sekali gus menjadikan ramai penduduk yang berketurunan Haiti sebagai tidak mempunyai kerakyatan.
Sehinggalah pada 2013, Mahkamah Perlembagaan Republik Dominica mendapati kira-kira 200,000 hingga 250,000 penduduk berketurunan Haiti yang lahir seawal 1929 menjadi penduduk tanpa kerakyatan atau negara, namun golongan tersebut diberi peluang untuk mendaftar sebagai rakyat.
Namun malangnya, penduduk Haiti yang lahir di negara itu tidak pernah diberikan sijil kelahiran.
Kini selepas enam bulan program naturalisasi itu berakhir, hanya segelintir orang sahaja memperoleh permit penduduk dan beribu-ribu penduduk berketurunan Haiti terpaksa pulang ke negara asal mereka semula, tetapi kerajaan Haiti sendiri tidak boleh menerima golongan terbuang ini kerana tiada sebarang dokumen yang mengesahkan mereka adalah penduduk asal negara itu.
Akibatnya, kira-kira 3,000 penduduk Haiti terpaksa tinggal di dalam kem yang hanya mempunyai khemah buatan sendiri di kawasan sempadan Republik Dominica dan Haiti, dengan hanya berbekalkan bekalan makanan yang sedikit, tidak mendapat akses air bersih dan penjagaan kesihatan.
Di Malaysia sendiri, berpuluh-puluh ribu kanak-kanak di Sabah dikategorikan sebagai tiada ke­rakyatan kerana mereka merupakan anak kepada rakyat Indonesia dan Filipina yang berhijrah ke ne­geri itu untuk bekerja sama ada secara sah atau haram.
Tanpa kerakyatan, kanak-kanak terbabit tidak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan atau akses kesihatan, menyebabkan mereka menjadi buruh kanak-kanak dan lebih teruk lagi, terlibat dengan aktiviti jenayah.
Ibu bapa kanak-kanak ini tidak mahu mendaftarkan anak mereka kerana bimbang dihantar pulang ke negara asal atau tidak berkahwin secara sah disebabkan faktor kewangan.
Sementara itu di Thailand, lebih 540,000 orang tidak mempunyai taraf kerakyatan melibatkan kumpulan etnik Yao, Hmong, dan Karen yang tinggal di kawasan pergunungan di utara sempadan Myanmar dan Laos.
Keengganan kerajaan Thailand memberi kad pengenalan kepada mereka atau menyediakan perkhidmatan asas menyebabkan ekonomi mereka terjejas selain terdedah kepada ancaman sindiket penyeludupan manusia.
Di benua Eropah, kira-kira 80,000 etnik Roma yang berasal India yang tidak mempunyai kerak­yatan menghuni di kawasan tengah dan timur benua tersebut.
Perpecahan bekas negara Czech-Slovakia dan bekas negara Yugoslavia menyebabkan kesulitan kepada mereka apabila negara baharu yang terbentuk tidak mengiktiraf mereka sebagai penduduk.
Malah terdapat ramai etnik Roma di Kosovo dan Bosnia hilang kerakyatan akibat menjadi pelarian ekoran konflik perang.
Keluarga etnik Roma kebiasaannya tidak mendaftar kelahiran baharu dan memiliki dokumen rasmi terhadap harta mereka dan lebih gemar mewariskan rumah mereka kepada ahli keluarga yang lain.
Situasi tersebut menyebabkan sukar untuk mengenalpasti tempat asal mereka selain mengakibatkan mereka mudah terdedah kepada bahaya termasuk dikenakan tindakan undang-undang.