Monday, January 25, 2016

Hidup tanpa kerakyatan


MOHD HASRIQ AMIRUDDIN DAN KASTHURI JEEVENDRAN  |  25 Januari 2016 12:26 AM




ALBERT Einstein bukanlah nama asing kerana sumbangannya yang besar dalam dunia sains. Namun, pasti ramai yang tidak tahu sejarah hidup beliau yang pernah menjadi orang tanpa kerakyatan selama lima tahun bermula dari 1896 sehingga 1901.
Sejarah Einstein sebagai pelarian bukanlah satu rahsia selepas saintis kelahiran Jerman itu mengelak daripada menyertai tentera dengan mengisytiharkan dirinya bukan lagi rakyat di bawah pemerintahan Kerajaan Wurttemberg.
Namun disebabkan kepintarannya, beliau diberi kerakyatan oleh beberapa negara iaitu Switzerland, Austria, Jerman, dan Amerika Syarikat (AS).
Kisah Einstein yang pernah hidup tanpa sebarang kerakyatan merupakan contoh yang diambil pada abad ke-19 yang ketika itu isu orang tanpa kerakyatan bukanlah satu masalah yang besar.
Namun pada abad ke-21 ini, orang tanpa kerakyatan boleh ditemui di mana-mana bahagian di dunia sama ada di rantau Asia, Afrika, Asia Barat, Eropah, dan Amerika dengan melibatkan sekelompok masyarakat, bayi yang baru lahir, kanak-kanak, pasangan suami isteri, dan golongan tua yang tidak mempunyai kewarganegaraan.
Kira-kira 10 juta penduduk di dunia kini tergolong sebagai orang tanpa kerakyatan.
Secara jelasnya, masalah besar akan timbul sekiranya tidak memiliki kerakyatan kerana segala hak akan dinafikan terutamanya dalam soal pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan apatah lagi jika tidak memiliki kepintaran atau nama sehebat Einstein.
Etnik Rohingya merupakan contoh terbaik yang menunjukkan betapa serius isu orang tanpa kerakyatan walaupun masyarakat beragama Islam itu telah menetap di wilayah barat Myanmar sejak puluhan tahun lalu.
Kemelut yang dialami oleh etnik Rohingya sudah cukup menunjukkan punca sebenar bagaimana isu orang tanpa kerakyatan boleh wujud akibat kemelut politik, sistem perundangan dan krisis sempadan.
Satu populasi penduduk juga boleh menjadi orang tanpa ke­rakyatan hanya dalam satu malam sahaja seperti yang berlaku ketika pemecahan Kesatuan Soviet apabila lebih 600,000 orang terpaksa hidup tanpa sebarang kerakyatan.
Selain itu, kira-kira 300,000 etnik minoriti Biharis dinafikan hak untuk memiliki kerakyatan oleh kerajaan Bangladesh apabila negara itu memperoleh kemerdekaan pada 1971.
Begitu juga dengan kira-kira 1.7 juta penduduk Palestin yang kehilangan negara gara-gara penjajahan rejim Israel sejak 1948 sehingga menyaksikan penduduk di Tebing Barat dan Genting Gaza menderita di tanah air sendiri.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), satu pertiga daripada 10 juta penduduk tanpa kerakyatan merupakan golongan kanak-kanak yang paling terdedah kepada kesan buruk kemelut itu.
Tanpa sijil kelahiran, kelayakan pendidikan mereka akan dinafikan sekali gus mengundang masa depan yang kelam.
Sejak konflik perang saudara di Syria tercetus pada 2011, dianggarkan 50,000 bayi dilahirkan oleh ibu bapa mereka yang menjadi pelarian di Jordan, Iraq, Lebanon, Turki, dan Mesir.
Secara teknikal, mereka merupakan rakyat Syria, tetapi tanpa pendaftaran sijil kelahiran, kanak-kanak itu bakal berdepan masalah yang lebih serius apabila sudah dewasa.
Selain masalah pendidikan, orang tanpa kerakyatan berisiko dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan identiti sehingga menyebabkan mereka sentiasa diselubungi rasa takut ditahan, diusir atau dalam dilema untuk meneruskan kehidupan.
Golongan tanpa kerakyatan itu terpaksa menempuh kehidupan seharian dengan perasaan malu dan kecewa kerana tidak memiliki hak yang sama seperti manusia lain.
Mereka juga sentiasa berasa seperti dikepung sehingga takut untuk keluar kerana khuatir ditahan akibat tidak memiliki sebarang dokumen. Situasi itu menyebabkan mereka lebih suka menyendiri, tidak bercampur masyarakat, sekali gus mengundang persepsi buruk daripada orang lain.
Perasaan itu mungkin tidak akan wujud lagi dalam tempoh lapan tahun akan datang apabila UNHCR secara serius menangani isu golongan tanpa kerakyatan menjelang 2024 dengan melancarkan kempen khas melalui bajet sebanyak AS$68 juta (RM290 juta).
Memetik kata-kata Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Gutteres; “Mengakhiri ketidakadilan sosial yang berlanjutan sejak berdekad lalu bukan mudah, tetapi merupakan perkara yang betul perlu dilakukan.
“Hampir semua golongan tanpa kerakyatan mempunyai hubungan yang kuat antara setiap negara dan melalui semangat politik yang tinggi serta usahasama yang baik, hubungan antara golongan ini dan negara yang didiami akan diiktiraf.
“Berjuta-juta orang akhirnya boleh memiliki sebuah negara dan kerakyatan sekali gus menikmati kehidupan sebagai seorang manusia yang memiliki hak sama rata.”
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hidup-tanpa-kerakyatan-1.183124#sthash.aq8WQfV4.dpuf

No comments:

Post a Comment