Kadar pengangguran yang tinggi di India, menyebabkan ribuan graduan memilih untuk pekerja sebagai tukang sapu. AGENSI
Portal indian.express.com melaporkan, bukan sahaja tidak memilih kerjaya, ribuan graduan itu juga perlu berebut untuk mendapatkan pekerjaan tersebut memandangkan hanya terdapat 114 kekosongan sebagai tukang sapu.
Menurut laporan portal terbabit, permohonan sebagai tukang sapu itu turut dihantar graduan jurusan sains, seni, dan kejuruteraan walaupun tugas menyapu sampah hanya menjanjikan bayaran sekitar 17,000 rupee (RM1,075) sebulan
Namun disebabkan kadar pengangguran yang tinggi, pelajar lepasan universiti tidak mempunyai pilihan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan sanggup menjadi tukang sapu.
Pegawai Majlis Perbandaran Amhroha, Faiz Alam berkata, pihaknya telah menyemak kira-kira 6,000 permohonan yang kebanyakannya daripada pelajar lepasan universiti.
“Situasi ini menunjukkan tahap pengangguran yang tinggi di India sehingga mereka sanggup menjadi tukang sapu sampah,” katanya.
Sementara itu, pegawai kanan majlis perbandaran tersebut, Prem Prakash berkata, tugas berkenaan tidak memerlukan sebarang kelayakan pendidikan kerana pekerja perlu menyapu sampah di jalanan dan menyelenggara sistem pembetungan.
“Masih ramai pemohon yang layak menunggu panggilan untuk sesi temu duga,” katanya.