Friday, July 22, 2011

Malaysia negara ke-19 paling selamat: GPI

KUALA LUMPUR: Walaupun ada pihak sentiasa cuba memburukkan imej negara ini, namun kajian Global Peace Index (GPI) 2011 mendapati Malaysia adalah negara ke-19 paling selamat daripada 153 negara di seluruh dunia.

Malaysia juga diletakkan sebagai negara paling aman di Asia Tenggara dan keempat di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia.
Ini adalah julung kalinya Malaysia diberi ranking setinggi itu sejak 2007 dan negara ini adalah antara enam negara bukan Eropah yang menduduki 20 tempat teratas dalam senarai berkenaan, di samping Iceland, New Zealand, Jepun, Qatar dan Australia.
Penemuan edisi kelima kaji selidik oleh Institute for Economics and Peace yang berpejabat di Sydney itu diumumkan pada hujung Mei. Pada 2007, Malaysia menduduki tangga ke-37 dan jatuh ke tangga ke-38 pada 2008, sebelum memperbaiki kedudukannya daripada tempat ke-26 pada 2009 kepada tempat ke-22 pada 2010 dan tempat ke-19 pada 2011.

Indeks berkenaan mengandungi 23 petunjuk kualitatif dan kuantitatif oleh sumber yang dihormati, yang menggabungkan faktor dalaman dan luaran iaitu daripada perbelanjaan ketenteraan di peringkat nasional hinggalah kepada hubungan sesebuah negara dengan jirannya serta tahap pematuhan hak asasi manusia.

Petunjuk itu dipilih sebuah panel ahli akademik antarabangsa, ahli perniagaan, dermawan dan anggota institusi keamanan bagi tempoh 15 Mac 2010 hingga 15 Mac 2011.

Kajian itu menyatakan Malaysia mengambil alih kedudukan Singapura yang tersenarai sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara pada 2010.
Kini, republik itu menduduki tempat kedua di Asia Tenggara dan ke-24 keseluruhan, diikuti Vietnam (ke-30 keseluruhan), Laos (ke-32 keseluruhan), Indonesia (ke-68 keseluruhan), Thailand (ke-107 keseluruhan), Myanmar (ke-133 keseluruhan) dan Filipina (ke-136 keseluruhan).

Dalam kalangan negara maju pula, United Kingdom menduduki tangga ke-26, Korea Selatan (ke-50), China (ke-80) dan Amerika (ke-82).

"Peningkatan tahap keamanan Malaysia dicerminkan oleh peningkatan kestabilan politik dan hubungannya yang lebih baik dengan negara jiran, terutama Singapura dan China," menurut kajian.

Sepuluh negara yang menduduki tangga teratas dalam senarai itu ialah Iceland, yang merupakan negara paling aman, diikuti New Zealand, Jepun, Denmark, Republik Czech, Austria, Finland, Kanada, Norway dan Slovenia.

Di kalangan negara Islam pula, Malaysia menduduki tempat kedua selepas Qatar apabila negara itu diletakkan di tangga ke-12 dan negara paling selamat di Timur Tengah.

Tempat kedua bagi kategori ini menjadi milik Kuwait yang menduduki tangga ke-29 keseluruhan.

Sepuluh negara yang menduduki tangga paling bawah ialah Libya (ke-143), diikuti Republik Afrika Tengah, Israel, Pakistan, Russia, Republik Demokratik Congo, Korea Utara, Afghanistan, Sudan, Iraq dan Somalia.

Kajian itu menyatakan Somalia, negara yang dilanda perang, jatuh satu anak tangga untuk mengambil alih tempat Iraq sebagai negara paling tidak aman.

Kajian itu juga menunjukkan pencapaian keseluruhan beberapa petunjuk mencatat peningkatan, paling besar ialah potensi wujudnya tindakan keganasan dan kemungkinan berlakunya demonstrasi ganas.

Ahli sains politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata rakyat Malaysia perlu mengiktiraf ranking itu kerana ia dikeluarkan oleh sebuah badan antarabangsa yang dihormati.

"Kini, kita perlu meletakkan sasaran lebih tinggi. Mungkin pada 2020, kita patut berada dalam senarai 10 negara teratas. Apa yang membimbangkan saya ialah ada pihak tertentu di sini, yang kecewa dalam bidang politik, akan melahirkan idea lain seperti mengadakan perhimpunan jalanan dan sebagainya. Tindakan ini akan menurunkan ranking itu," katanya.

Ahli akademik itu berkata, Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa serta terkenal sebagai negara yang aman dan harmoni.

"Hanya segelintir golongan yang tidak tahu bersyukur saja yang enggan menerima hakikat ini kerana mempunyai agenda tersembunyi," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | Malaysia negara ke-19 paling selamat: GPI

SUHAKAM adakan siasatan awam dakwaan pelanggaran hak asasi manusia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan mengadakan Siasatan Awam terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan haram 9 Julai lslu.

Naib Pengerusi SUHAKAM, Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, berkata panel siasatan itu akan dipengerusikan oleh beliau dan dibantu Pesuruhjaya SUHAKAM, Profeaor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
SUHAKAM dalam satu kenyataan, berkata terma rujukan untuk Siasatan Awam itu ialah untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak sebelum dan ketika perhimpunan 9 Julai itu.
Beliau berkata, jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, siasatan itu juga akan menentukan bagaimana pelanggaran itu terjadi; apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran itu; individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran itu.

Siasatan juga akan mengesyorkan langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran itu tidak berulang, kata Dr Khaw.

"Sapina akan dikeluarkan pada masa yang sesuai kepada saksi-saksi yang berkaitan termasuk orang awam, media dan polis. Kuasa ini adalah menurut Seksyen 14(1)(a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia...," katanya.

SUHAKAM meminta orang ramai yang menyaksikan sebarang perbuatan atau insiden mengenai dakwaan-dakwaan itu, atau mereka yang memberikan maklumat yang berkaitan dan/atau dokumen serta bukti-bukti termasuk rakaman video atau gambar mengenai dakwaan itu supaya menghubungi suruhanjaya itu dengan segera.
Tarikh akhir untuk penyerahan awam ialah 2 Ogos ini. - BERNAMA
Berita Harian Online | SUHAKAM adakan siasatan awam dakwaan pelanggaran hak asasi manusia

Dua beradik parah disimbah asid



MARAN - Dua beradik cedera parah akibat disimbah asid dipercayai cuka getah oleh seorang lelaki yang juga jiran mereka dalam satu kejadian di Felda Kesumba Jengka 9 dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi,13, dan adiknya Shafiq Aiman,10, cedera parah di muka, mata dan badan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, Shafiq Haikal cedera parah di badan dan di sebelah muka kiri manakala adiknya cedera seluruh muka dan mata dibawa di Hospital Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek yang berusia lingkungan 30-an berjaya ditahan dan reman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, semalam.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika dua beradik itu sedang menunggang basikal ke rumah kawannya untuk belajar secara kumpulan.

“Ketika sampai di tempat kejadian, suspek bertindak menyimbah asid ke arah mereka menyebabkan dua beradik itu melecur teruk,” katanya.

Ahmad Johari berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang termasuk mendakwa suspek di mahkamah kerana perbuatan jenayah yang dilakukan serius.

Ibu saudara mangsa, Zafrida Che Sham, 41, berkata, mangsa yang baru selesai mengaji al-Quran mengajak adiknya ke rumah kawan untuk belajar secara kumpulan.

Menurutnya, ketika sampai di hadapan rumah lelaki itu, suspek dipercayai bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai asid ke arah mangsa

“Lelaki itu jarang-jarang dilihat sebelum ini mungkin baharu pulang bercuti di kampung,” katanya.

Sementara itu, Siti Aishah Rohaisha Hanafi, 28, berkata, dia segera menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Jengka dalam keadaan yang `berasap` akibat tindak balas asid pada kulit.
SH

Polis lakon semula perhimpunan haram



KUALA LANGAT – Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia Lapang Sasar Bukit Jugra berhampiran Pusat Latihan Penguat kuasa Selangor (Pulapes), Banting, di sini, mengadakan satu perhimpunan olok-olok, semalam.

Menurut sumber, perhimpunan itu dilakukan untuk menilai dan menguji sejauh mana kesan penggunaan gas pemedih mata dan meriam air bagi mengawal perhimpunan haram.

Kira-kira 200 anggota Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dan mereka menggunakan sebuah jentera penyembur air.

Demonstrasi semburan itu dimulakan kira-kira jam 10 pagi dan berakhir dua jam kemudian.

Tinjauan di kawasan terbabit mendapati, kira-kira 20 anggota forensik turut kelihatan di lapang sasar berkenaan.

Difahamkan, beberapa orang pemantau terdiri daripada doktor, peguam dan ahli kimia turut berada di situ.

Petugas media dilarang masuk di kawasan lapang sasar tersebut dan hanya berada kira-kira 100 meter dari lokasi, bagaimanapun kesan gas pemedih mata masih dirasai apabila mata mula berair.

Semalam, akhbar melaporkan, sumber berkata, perhimpunan olok-olok membabitkan sebahagian besar anggota dan pegawai polis serta FRU yang bertugas ketika hari kejadian, diadakan bagi mendapat gambaran sebenar kesan gas pemedih mata dan meriam air terhadap orang awam.

Katanya, perhimpunan olok-olok dan prosedur ketika perhimpunan haram itu perlu dikaji kerana banyak dakwaan mengatakan polis bertindak ganas, zalim dan mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap peserta.
SH

Mohamad Sabu menggesa pihak polis menarik semula kenyataan bahawa beliau membuat tuduhan palsu

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menggesa pihak polis menarik semula kenyataan bahawa beliau membuat tuduhan palsu dilanggar kenderaaan polis pada 9 Julai lalu, atau berdepan tindakan saman.Mohamad berkata beliau dirempuh kereta Proton Waja polis, dan bukan kenderaan Pajero seperti yang didakwa pasukan keselamatan itu.
Katanya, perkara itu turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat beliau pada 14 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
“Saya minta tarik balik pembohongan, kalau tidak kita akan saman polis dan Datuk Salleh Mat Rashid (Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman) kerana melakukan fitnah,” katanya kepada Keadilandaily.
Berdasarkan rakaman CCTV yang ditayangkan polis, katanya, rakaman itu juga menunjukkan sebuah kereta Proton Waja mengekori Pajero terbabit ketika sedang mengejar motosikal yang diboncengnya ketika itu.
“Dalam video polis, yang tidak ditunjuk adalah kereta Waja yang di belakang kereta Pajero yang melanggar motosikal itu,”
“Kereta Waja yang cross itu (yang melanggar),” kata beliau.
Ketika ditanya laporan media 11 Julai lalu yang mengatakan beliau dilanggar Pajero polis, Mat Sabu berkata terdapat berbagai pandangan pada masa itu.
” Tetapi selepas bertanya kepada penunggang saya, kereta Waja itu yang melanggar,” katanya.
Polis semalam dilapor tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ke atas Mat Sabu kerana didakwa membuat tuduhan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman,Datuk Salleh Mat Rashid, berkata dakwaan itu tidak mempunyai kebenaran. Malah polis juga tampil dengan rakaman CCTV menunjukkan Mat Sabu terjatuh dari kenderaan selepas terlanggar ‘fender’ Pajero.
Namun, rakaman CCTV itu juga menunjukkan sebuah proton Waja mengekori rapat di belakang Pajero berkenaan, sebelum dikatakan merempuh motosikal dinaiki Mat Sabu.
Pada masa itu motosikal yang diboncengnya, sudah terbabas ke tengah jalan ketika Pajero itu melepasi mereka.
Namun bahagian rakaman di mana Proton Waja itu dikatakan melanggar Mohamad, tidak ditunjukkan oleh pihak polis.
anakmuaallaf

'AP Italy mewah waktu krisis'

Dakwaan penulis blog cetus kemarahan
ROME: Berita mengenai faedah dan keistimewaan mewah yang diperolehi Ahli Parlimen semasa Italy menghadapi krisis ekonomi kini mencetuskan kemarahan orang ramai di laman web sosial.

Dakwaan itu datang daripada seorang penulis blog yang menggelarkan dirinya sebagai 'Spider Truman', yang mengatakan maklumat itu diperolehinya semasa bekerja di Dewan Rakyat sebelum beliau dipecat.

Kini, akaun Facebooknya mempunyai seramai 341,800 pengikut dan jumlah itu semakin bertambah.

'Ahli politik mempunyai keistimewaan yang tidak masuk akal dan gaji yang terlalu tinggi dan kita seperti telah kembali ke zaman kuno Yunani, ketika tuhan-tuhan di Gunung Olympus menentukan nasib rakyat.

'Sudah tiba masanya, Italy bangun daripada tidur dan berkata 'Cukup!' terhadap ketidakadilan ini,' kata seorang lagi penulis blog, Encik Leonardo Monti, 21 tahun.

Blog milik 'Spider Truman' mendakwa ahli politik menipu dengan pelbagai cara bagi memperolehi kemewahan seperti membuat laporan palsu tentang kecurian barang bagi mendapatkan insurans pemerintah dan malah membuat surat ancaman palsu bagi diri sendiri untuk mendapatkan pengawal peribadi khas.

Penulis blog itu juga mendakwa Parlimen menggaji sembilan pendandan rambut dengan memberi gaji sebanyak 11,000 euro ($19,006) sebulan setiap seorang.

Dewan Rakyat kemudian membuat kenyataan bahawa mereka hanya menggaji tujuh tukang gunting rambut dengan gaji 2,400 euro sebulan.

Berbilion dolar juga didakwa dibelanjakan setiap tahun menampung hidup mewah Ahli Parlimen, termasuk kereta mewah dengan pemandu; penerbangan dan perjalanan menggunakan kereta api secara percuma; tiket wayang dan teater percuma dan diskaun yang banyak bagi penjagaan kesihatan dan semasa makan di restoran, demikian menurut laporan media tempatan.

Ahli Parlimen Italy juga didakwa memperolehi gaji dua kali ganda lebih besar berbanding pendapatan purata di Eropah dengan bayaran sebanyak 11,704 euro sebulan setiap orang.

'Mereka telah mencuri masa depan kami,' kata seorang pengguna Internet, Encik Fausto.

Seorang lagi menulis:

'Pada pandangan mereka, kami hanya 60 juta boneka yang bersedia menerima apa saja. Tetapi mereka harus berhati-hati, kerana 60 juta orang ialah satu bilangan yang ramai... Mereka sedang bermain dengan api.'

Perdana Menteri Italy, Encik Silvio Berlusconi, masih belum memberi sebarang reaksi mengenai isu tersebut.

Namun, ahli perniagaan dan pembangkang mendesak satu pengurangan segera dikenakan terhadap gaji dan pencen khas Ahli Parlimen Italy. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Australia rancang saman bekas banduan Guantanamo Bay

ROYALTI BUKU
SYDNEY: Kerajaan Australia bersedia mengemukakan saman terhadap bekas tahanan penjara Guantanamo Bay, David Hicks, di atas royalti jualan buku autobiografinya.

Kutipan penjualan buku itu didakwa adalah hasil kegiatan jenayah.

Hicks ditangkap di Afghanistan selepas serangan 11 September 2001 dan meringkuk selama lima tahun setengah di penjara di Guantanamo Bay sebelum disabitkan kesalahan oleh suruhanjaya ketenteraan kerana menyokong pengganasan.

Hicks merupakan tahanan pertama yang didakwa oleh tribunal jenayah itu yang dibentuk bagi membicarakan tahanan bukan warga Amerika.

Dia diesktradisi ke Australia pada April 2007 dan menghabiskan masa sembilan bulan dalam penjara.

Hicks kemudian dibebaskan dengan syarat ketat iaitu perlu melapor diri pada polis dan tidak dibenarkan memberi sebarang temu ramah selama setahun.

Hicks, 35 tahun, kini menetap di Sydney dan telah menghasilkan sebuah buku autobiografi yang menceritakan secara terperinci pengalaman di Guantanamo Bay di Cuba dari 2001 hingga 2007.

Dalam buku itu, Guantanamo, My Journey, dia mendedahkan latihan tentera yang dilalui di Afghanistan dan Pakistan serta penglibatannya dalam konflik di Kosovo dan Kashmir.

Namun, Hicks mendakwa dia dijadikan 'kambing hitam' dan dia tidak pernah mempunyai niat melancarkan serangan pengganas.

Sebelum ini, Hicks mengaku telah bertemu dengan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Dilaporkan, sebanyak 30,000 naskhah buku itu dijual.

Menurut jurucakap kerajaan, kes itu akan didengar di Mahkamah Agung New South Wales pada 3 Ogos ini.

Di bawah undang-undang Australia, seseorang itu dilarang meraih keuntungan daripada kesalahan jenayah.

Seorang lagi warga Australia, Mamdouh Habib, telah dibebaskan dari penjara Guantanamo Bay, tanpa didakwa, pada 2005.

Australia merupakan anggota awal pakatan tentera antarabangsa pimpinan Amerika yang menceroboh Iraq pada 2003 dan Afghanistan selepas serangan 11 September 2001 ke atas Amerika. -- AFP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

Peguam 'Scorpene' ditahan di KLIA


Peguam Perancis William Bourdon, yang berada di Pulau Pinang malam tadi untuk bercakap tentang urusniaga kontroversi pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit kepada pegawai kerajaan Malaysia, ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

ops scorpene dinner 220711 willian bourdonMenurut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, pegawai imigresen masuk ke dalam pesawat untuk menahan Bourdon (kiri) sebaik sahaja beliau mendarat di KLIA.

"Beliau kini dibawa ke pusat tahanan imigresen di KLIA," kata Gabriel.

Pada mulanya, pegawai imigresen tidak membenarkan isteri Bourdon, juga seorang peguam, mengikutnya ke pusat tersebut.

Selepas beberapa rundingan, beliau dibenarkan menemani suaminya.

Menurut Gabriel, pegawai imigresen "menyoal Bourdon".

Bourdon mendarat di Pulau Pinang semalam dan berucap mengenai 'Ops Scorpene' di Bayan Baru malam tadi.

Peguam Perancis yang berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan - Sherpa - dan mengkhusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan.

Bourdon dijangka mendedahkan butiran kontroversial mengenai pembelian kapalselam negara dengan firma gergasi pertahanan Perancis DCNS.

NONESyarikat itu didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Suaram berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 daripada majlis berkenaan yang juga dijadualkan di Ipoh dan Kuala Lumpur hari ini dan esok, bagi membiayai kos perundangan dalam kes yang difailkan di Paris yang akan dibicarakan di mahkamah terbuka pada September ini.

Kes berkenaan difailkan tahun lalu oleh Suaram, melalui Bourdon dan pasukannya mengenai dakwaan DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada Perimekar.

razak baginda acquitted 311008 12Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda (kanan).


Abdul Razak pula adalah rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan.- mkini

Batu vs Kayu: Peguam 'Scorpene' ditahan di KLIA

Persalinan Memey RM7.2 juta



Norman Hakim dan Memey Suhaiza.


KUALA LUMPUR 21 Julai - Pelakon Memey Suhaiza akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta pada majlis persandingannya dengan Norman Hakim di Crowne Plaza Mutiara di sini, 28 September ini.

Memey, 23, akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.

Menurut Bill Bora selaku wakil Rafflesia, sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pernah mengenakan gaun bertatah mutiara bernilai RM400,000 pada hari persandingannya.

Selain dua persalinan itu yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut.

"Sejak minggu lepas, borang penyertaan untuk rekaan pakaian perkahwinan Memey sudah dibuka kepada semua pereka fesyen yang berminat.

"Pakaian itu kelak akan dipadankan dengan anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara. Terpulang kepada pereka untuk menghasilkan pakaian itu, namun kedua-duanya perlu dihiasi mutiara.

"Selain itu, Memey juga akan mengenakan dua pasang kasut rekaan khas Prof. Datuk Jimmy Choo," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Bill, Memey amat beruntung kerana pereka kasut ternama itu sudi menghasilkan kasut khas bertatah mutiara untuk majlis perkahwinannya yang dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang.

Memey dan Norman, 35, bakal bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

"Persandingan mereka boleh dianggap sebagai wedding of the year kerana mendapat sentuhan orang ternama," katanya.

Kata Bill, Memey dan Norman dipilih kerana sebagai pasangan selebriti, kedua-duanya sentiasa menjadi perhatian ramai dan dinanti-nantikan penampilan mereka.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Polis penyiasat ditambah

LONDON 21 Julai - Bilangan anggota polis yang ditugaskan untuk menyiasat skandal penggodaman telefon oleh akhbar News of the World milik Rupert Murdoch (gambar) ditingkatkan daripada 45 kepada 60 orang.

Timbalan Penolong Komisioner Polis Metropolitan (Met), Sue Akers berkata, langkah itu berikutan 'pertambahan beban kerja yang ketara' sejak dua minggu lalu.

Sebelum itu, ahli Parlimen Britain menuduh Met 'gagal melakukan pelbagai perkara' dalam siasatan berhubung penggodaman telefon di akhbar tabloid News of the World.

Syarikat induk News of the World, News International turut mengumumkan, ia memberi kebenaran kepada firma guaman, Harbottle & Lewis untuk menjawab sebarang soalan daripada Scotland Yard dan jawatankuasa hal-ehwal dalam negeri House of Commons mengenai khidmatnya untuk syarikat itu.

Menurut News International, sepucuk surat daripada firma guaman tersebut pada Mei 2007 menyebabkan ia percaya kegiatan menggodam 'sudah berlalu' dan hanya melibatkan seorang pemberita yang bertindak bersendirian.

Semasa perbahasan mengenai skandal penggodaman telefon di dewan House of Commons semalam, ahli Parlimen menggesa News International menyiarkan sepenuhnya komunikasi mengenai e-mel yang diperiksa oleh firma guaman itu.

Harbottle & Lewis sebelum itu berkata, ia dihalang daripada menjawab kenyataan 'tidak tepat' yang dibuat oleh Pengerusi News International, James Murdoch kerana syarikat itu tidak dibenarkan melanggar kewajipannya menjaga rahsia pelanggan. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Palestin kutuk tindakan Israel


GAZA CITY 21 Julai - Palestin mengutuk tindakan tentera Israel merampas bot layar Perancis, Dignite/Al Karama dan meminta campur tangan antarabangsa bagi menamatkan sekatan rejim Zionis Israel ke atas Genting Gaza sejak lebih empat tahun lalu.

Bot tersebut dirampas oleh tentera Zionis Israel, kelmarin ketika dalam pelayaran menuju Gaza dengan tujuan untuk melanggar sekatan maritim Israel ke atas wilayah Palestin itu.

Pengarah biro media Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA), Ghassan al-Khatib berkata, PNA mengutuk tindakan Israel memintas dan merampas bot layar Perancis itu.

"Pendirian rasmi kami sejak awal lagi ialah mengutuk dasar Israel yang menyekat segala jenis bantuan kemanusiaan Gaza yang mahu dihantar oleh pergerakan pro-Palestin antarabangsa," kata al-Khatib.

PNA juga mengutuk kerjasama antara Israel dengan beberapa negara Eropah bagi menyekat flotila bantuan ke Gaza.

Awal kelmarin, tentera laut Israel memintas Dignite/Al Karama yang membawa bantuan kemanusiaan dan 16 aktivis pro-Palestin serta memaksa bot itu belayar ke pelabuhan Ashdod di Israel untuk pemeriksaan keselamatan.

Israel mengusir 15 aktivis asing di dalam bot itu semalam setelah menyoal siasat mereka.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan Hamas di Gaza, Ismail Radwan menyifatkan tindakan tentera Israel merampas bot itu sebagai 'tindakan lanun dan jenayah perang'.

Hamas yang memerintah Gaza menggesa masyarakat antarabangsa memilih antara undang-undang hak asasi manusia atau hukum lanun dan rimba yang diamalkan oleh rejim Zionis Israel.

Pergerakan Islam itu menggesa lebih banyak kapal bantuan dihantar ke Gaza dalam usaha untuk melanggar sekatan Israel. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kepulangan Umar Patek bimbangkan Jakarta


JAKARTA 21 Julai – Agensi Antikeganasan Indonesia (BNPT) bimbang suspek pengganas berprofil tinggi, Umar Patek yang akan dibawa pulang dari Pakistan untuk menjalani pendakwaan bakal mencetuskan huru hara di negara ini.

“Proses membawa pulang Umar masih lagi dalam rundingan kerajaan dan walaupun dia merupakan warga Indonesia, namun terdapat beberapa prosedur perlu diikuti,” kata Ketua BNPT, Ansyaad Mbai

Tambahnya, Umar akan didakwa kerana terlibat dalam serangan bom pada petang Krismas (2000) dan di Bali (2002).

Dalam pada itu, tertuduh juga akan didakwa di bawah Kanun Jenayah kerana melancarkan serangan yang dirancang serta Undang-undang Darurat ekoran membawa bahan letupan dan senjata api.

Kedua-dua serangan tersebut berlaku sebelum Indonesia menggubal undang-undang antikeganasan, namun Umar masih berisiko berhadapan hukuman mati di bawah Kanun Jenayah dan Undang-undang Darurat.

Penganalisis keganasan, Noor Huda Ismail berkata, walaupun suspek pengganas itu berhadapan hukuman mati, namun pengaruhnya dilihat boleh menyalurkan maklumat kepada rangkaian pengganas serantau.

“Kepulangannya boleh dianggap sebagai perkara ‘penting kepada pasukan perisikan negara’ kerana penglibatannya dalam Jemaah Islamiah (JI) dan secara tidak langsung akan memberi maklumat bagaimana rangkaian tersebut beroperasi termasuk hubungannya dengan al-Qaeda,” katanya.

Sebelum ini, Pakistan bercadang menghantar tertuduh ke Australia bagi menjalani perbicaraan berhubung kes serangan bom di Bali yang mengorbankan 88 rakyat negara itu.

Umar ditahan di Abbottabad, Pakistan pada Mac lalu. – Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Thai larang wakil Indonesia



Gambar bertarikh 6 Julai lalu menunjukkan kanak-kanak lelaki bermain di kawasan runtuhan kuil purba yang didakwa rosak akibat serangan roket Thailand semasa pertempuran Februari lalu di kuil Hindu abad ke-11 Preah Vihear, dekat sempadan Kemboja-Thailand di provinsi Preah Vihear, Kemboja. - AP


BANGKOK 21 Julai - Pemerhati Indonesia tidak dibenarkan memasuki kawasan pertikaian sempadan berdekatan dengan kuil Preah Vihear sehingga tentera Kemboja meninggalkan tempat itu, kata Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, hari ini.

Kemboja turut bersetuju dengan arahan tersebut walaupun mereka mempunyai pandangan yang berbeza tentang isu tersebut.

"Mesyuarat perlu dilakukan bagi membincangkan prosedur untuk menghalang daripada berlakunya salah faham," katanya.

Menurutnya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengarahkan tentera kedua-dua negara untuk berundur dengan kadar segera.

Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah Jabatan Maklumat di Kementerian Luar Negara, Jessada Katawethin berkata, agensi negara termasuk Kementerian Luar Negara dan Pertahanan perlu bertemu bagi membincangkan perintah ICJ sebelum mematuhinya.

Jessada menjangkakan mesyuarat pertama ini akan diadakan minggu depan selepas pasukan Thailand yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah kembali dari The Hague, Netherland.

Ketua Polis, Wichian Potephosree menaiki helikopter polis ke daerah tersebut untuk mendapatkan perkembangan terkini situasi di sempadan Thailand dan Kemboja itu.

Menurut Wichian, dia akan mengarahkan menguatkuasakan langkah-langkah keselamatan bagi memastikan keselamatan penduduk yang menetap di sepanjang sempadan itu serta harta benda mereka terjamin.

Tambahnya, situasi di kawasan sempadan Si Sa Ket masih lagi tenteram dan tidak berlaku sebarang kekacauan.

Tentera Thailand juga dikatakan tidak akan berundur selagi tidak mendapatkan arahan daripada kerajaan. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Qari Arab Saudi berdarah Melayu





KUALA LUMPUR 21 Julai – Melihatkan rupa paras qari Arab Saudi, Helal Hussean yang mewakili negara itu ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53, ramai yang tertanya-tanya siapakah dia sebenarnya?

Ini kerana, Helal, 35, lebih kelihatan seperti orang Melayu daripada seorang lelaki Arab.

Kesempatan menemuinya membuka rahsia pemuda yang dilahir dan dibesarkan di Arab Saudi ini iaitu dia sebenarnya adalah hasil perkahwinan wanita Kelantan dan lelaki Palembang, Indonesia.

“Sebenarnya, ibu saya berasal dari Kelantan manakala bapa saya dari Palembang dan ini kunjungan kali ketiga saya ke negara ini.

“Walaupun bahasa Arab menjadi bahasa pertuturan harian di sana, sesekali kami bertutur dalam bahasa Melayu juga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Helal ialah qari kelima daripada lapan peserta yang memperdengarkan bacaan malam ini. Dia membacakan surah Saba, ayat ke-10.

Pengurus Madrasah Iman Warsy Tahfiz di Arab Saudi itu memperuntukkan masa selama sebulan untuk berlatih bagi meningkatkan bacaannya sebelum menghadiri tilawah kali ini.

Sementara itu, tilawah kali ini turut menyaksikan penyertaan ayah dan anak perempuan mewakili India.

Sadiqa Bano Qari Mohd. Sajid, 18, yang memperdengarkan bacaan sebagai qariah keempat berkata, penglibatan ayahnya sebagai wakil India dalam kategori lelaki memberi semangat kepadanya untuk mencuba.

“Ayah saya, Mohd. Sajid Faizi memperdengarkan bacaan pada malam pertama dan sudah tiga kali mewakili negara kami. Sewaktu mula tiba, saya agak gementar namun selepas empat hari, semuanya menjadi semakin baik,” katanya.

Sadiqa membaca surah Ar-Rahman bermula ayat 33.

Tilawah malam keempat dimulakan dengan qari Brunei, Awang Ismail Sulaiman yang memperdengarkan bacaan ayat ke-21 surah Syura diikuti qariah Afrika Selatan, Mariam Yaseen yang membaca surah Huda ayat ke-110.

Turut serta ialah qari dari Burkina Faso, Adama Doumbia, 20, yang juga pelajar universiti di Nigeria.

Adama membaca ayat ke-27 surah Sod serta wakil Mali, Abdoul Madjid Toure yang membaca surah Toha ayat 105 sebagai qari terakhir malam tadi.

Sebelum itu, qariah Sri Lanka, Fathima Rukaiya Afwan pula membawa surah Mumtahina ayat ke-8.

Sementara itu, johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, Amirahman Abas turut memperdengarkan bacaan malam ini sebagai qari keenam.

Amirahman, 29, yang juga guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan membaca ayat ke-65 surah Nahl.

“Saya sempat bertemu guru-guru lama saya bagi memperkemaskan bacaan dan mendalami aspek taranum. Selain itu, saya juga menjaga kesihatan supaya dapat memberi bacaan yang baik.

“Saya lihat banyak peserta dari negara lain juga sudah meningkatkan bacaan mereka dan mula memahami syarat-syarat yang diletakkan penganjur,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Saya tak dapat terima anak bunuh diri - Ibu mendiang

ALOR GAJAH 21 Julai - Keluarga mendiang Teoh Beng Hock tidak dapat menerima keputusan Suruhanjaya Diraja yang mengatakan mendiang membunuh diri.

Ibunya, Teng Shuw Hor, 58, tetap menegaskan, anaknya telah dibunuh dan bukan membunuh diri.

"Sebagai seorang ibu, saya tidak dapat menerima anak saya membunuh diri. Anak lelaki saya telah dibunuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Kelemak di sini, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas keputusan Suruhanjaya Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat terdiri daripada lima anggota panel dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong.

Suruhanjaya itu dalam laporannya mendapati Beng Hock membunuh diri berikutan sesi soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan.

Mengulas lanjut, Shuw Hor berkata, keluarganya tidak yakin dengan keputusan suruhanjaya itu yang mengenal pasti punca kematian Beng Hock berpunca akibat membunuh diri.

Sebaliknya, kata Shuw Hor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertanggungjawab ke atas kematian anak lelakinya itu.

"Sesiapa yang membawa Beng Hock ke bangunan SPRM, orang itu perlu bertanggungjawab atas apa yang terjadi," ujarnya.

Tegasnya, tiga orang yang telah dinamakan dalam laporan suruhanjaya itu perlu didakwa kerana membunuh anak lelakinya.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, plaza berkenaan.

Bagaimanapun, tunang Beng Hock, Teoh Cher Wei enggan ditemui bagi mengulas keputusan yang diumumkan oleh suruhanjaya itu.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Bunuh diri

KUALA LUMPUR: Kematian Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam, Shah Alam disebabkan membunuh diri dan bukan dibunuh. Itu antara laporan Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian pembantu khas Exco kerajaan negeri Selangor itu yang diumumkan semalam.

Selepas menjalankan siasatan dan penyediaan laporan lima bulan, suruhanjaya dipengerusikan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang ditauliahkan pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2011, menyediakan laporan penuh setebal 136 muka surat kepada baginda 22 Jun lalu.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika mengumumkan hasil laporan itu semalam berkata, suruhanjaya mendapati pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada niat dan sebab untuk membunuh Teoh, sebaliknya mahu mendiang membuat pengakuan supaya boleh menjadi saksi bagi kes penyelewengan wang yang disiasat. “Fakta bunuh diri itu turut disokong testimoni pakar psikiatri forensik yang diambil berkhidmat dengan Majlis Peguam Malaysia, Profesor Paul Edward Mullen yang menyatakan perwatakan mendiang bertukar daripada kumpulan berisiko rendah bagi pembunuhan diri kepada kumpulan berisiko tinggi.

“Perubahan itu berlaku selepas melalui sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan. Oleh itu, mendiang bukan dibunuh orang lain,” katanya dalam sidang media di Parlimen, di sini. Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.


Sepanjang tempoh lima bulan melakukan siasatan dan menyediakan laporan, 70 saksi dipanggil termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, pakar forensik dari dalam dan luar negara, ahli keluarga, majikan serta rakan mendiang bagi mendapatkan keterangan.


Mohamed Nazri berkata, suruhanjaya berkenaan diamanah menjalankan siasatan ke atas dua terma rujukan iaitu menyiasat sama ada berlakunya apa-apa perbuatan tidak wajar semasa pemeriksaan dijalankan ke atas Teoh dan membuat syor bagi tindakan sewajarnya di mana perlu.

“Hasil siasatan mendapati tiga pegawai penyiasat terbabit dalam kes ini menggunakan taktik soal siasat berterusan, agresif dan tidak wajar ke atas mendiang yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

“Suruhanjaya juga mengusulkan supaya SPRM meneliti dan mengambil tindakan penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti kelayakan masuk ke perkhidmatan dan latihan pegawai, infrastruktur dan kemudahan asas pejabat dan kajian semula prosedur sedia ada supaya lebih mantap dan berkesan,” katanya.

Menurutnya, terma rujukan kedua ialah untuk menyiasat kematian mendiang dan keadaan menyelubungi serta menyumbang kepada kematiannya.


“Beng Hock sepatutnya menjadi saksi utama SPRM yang menyiasat dakwaan berkenaan membabitkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor daripada DAP. Siasatan berkenaan memberikan tekanan kepada mendiang untuk membuat pengakuan sebagai bukti,” katanya.


Beliau meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu itu dan memutarbelitkan fakta selain menerima hasil laporan suruhanjaya berkenaan demi menghormati keluarga mendiang.


“Saya ingin maklumkan keputusan ini dicapai sebulat suara dan kerajaan memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pegawai berkaitan yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan serta undang-undang sedia ada,” katanya.


Menjawab soalan kemungkinan keluarga mendiang tidak berpuas hati dengan laporan suruhanjaya itu, Mohamed Nazri berkata, sekiranya mana-mana pihak mempunyai cadangan lain yang berkaitan, pihak terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya.


“Ini negara bebas, kalau ada cadangan apa-apa, kami akan lihat. Kalau tak puas hati dan perkara itu mengikut undang-undang, mereka boleh ambil tindakan (beri cadangan). Kalau ada bukti mencukupi, kami akan teruskan,” katanya.


Orang ramai boleh mendapatkan laporan yang disediakan dalam bahasa Melayu dan Inggeris daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dengan harga RM45 senaskhah bermula jam 10 pagi hari ini.

myMetro | Bunuh diri

Polis tayang video bersih

PENJELASAN...sebahagian gambar yang ditayangkan di Bukit Aman, semalam.
PENJELASAN...sebahagian gambar yang ditayangkan di Bukit Aman, semalam.

KUALA LUMPUR: Tohmahan beberapa pihak terutamanya individu penting yang terbabit dalam perhimpunan haram 9 Julai lalu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kekerasan dan keganasan ketika menyuraikan perhimpunan berkenaan ternyata tidak benar.

Ini terbukti selepas polis menyiarkan rakaman video dan gambar ketika kejadian itu di Bukit Aman, petang semalam.

Antara tohmahan yang menunjukkan jelas satu penipuan adalah dakwaan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, mendakwa dilanggar kenderaan polis ketika ditahan pada hari kejadian, namun rakaman kamera litar tertutup mendapati dia terjatuh daripada motosikal dinaiki akibat terlanggar pembahagi jalan.

Sesi tayangan itu dikendalikan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Salleh Mat Rashid serta dihadiri kira-kira 200 orang termasuk semua media dan wakil dari badan bukan kerajaan (NGO).


Salleh berkata, sesi itu dibuat bagi menjelaskan beberapa isu berkaitan perhimpunan Bersih dan rakaman ditayangkan berdasarkan empat segmen, iaitu kawalan, provokasi dan layanan terhadap tahanan; kejadian di KL Sentral serta KLCC; Mohamad Sabu dan Shuhardi Md Isa; dan akhir sekali kejadian di Hospital Tung Shing.

myMetro | Polis tayang video bersih

Surat anak buat pencuri menangis

KUALA LUMPUR: “Kami bukan mahukan wang ringgit dan kekayaan. Kami sanggup berlapar asalkan abah jadi orang baik,” demikian kandungan surat yang ditulis seorang anak kepada bapanya yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri.

Surat yang dibacakan peguam Wan A Fadzil Wan Omar ketika mengemukakan rayuan terhadap anak guamnya Nik Iza Afni Hussin, 38, mengundang rasa hiba bapa empat anak itu sehingga dia menangis.


Difahamkan surat yang diserahkan isteri tertuduh itu ditulis anak sulungnya yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Terdahulu, pekerja kedai akuarium itu mengaku bersalah terhadap tuduhan mencuri barang peralatan diri dan makanan ringan yang bernilai lebih RM400 di dua pasar raya bulan lalu.


Majistret Hafizza Sauni menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM4,000 atau dia berdepan tambahan lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. Mengikut pertuduhan, Nik Iza didakwa mencuri di dalam bangunan termasuk 16 kotak gula-gula jenis Strepsils, empat botol deadoran, dua botol minyak wangi yang keseluruhan bernilai RM260.99 di pasaraya Tesco Scott Garden, Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama, Brickfields pada jam 9 malam, 6 Jun 2011.

myMetro | Surat anak buat pencuri menangis

Sah bunuh diri


  MOHAMED NAZRI   menunjukkan buku laporan kematian   Beng Hock   dikeluarkan suruhanjaya diraja kepada pihak media di Parlimen, semalam.
MOHAMED NAZRI menunjukkan buku laporan kematian Beng Hock dikeluarkan suruhanjaya diraja kepada pihak media di Parlimen, semalam.
Tertekan, terbeban taktik soal siasat agresif, tak wajar pegawai SPRM

KUALA LUMPUR: Kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, dikenal pasti akibat bunuh diri kerana berasa terbeban dan tertekan dengan taktik soal siasat agresif, berterusan dan tidak wajar oleh tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain disokong perwatakan lemah mendiang.
Keputusan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pada sidang media di Parlimen di sini, semalam.
Fakta membunuh diri itu disokong oleh kenyataan Profesor Emeritus Psikiatri Forensik dari Universiti Monash, Australia; Profesor Paul Edward Mullen yang dibawa oleh Majlis Peguam bahawa mendiang benar-benar membunuh diri berdasarkan perwatakannya yang bertukar daripada kumpulan berisiko terendah untuk membunuh diri kepada kumpulan berisiko tinggi selepas melalui sesi soal siasat agresif dan berlarutan.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu mendapati pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Beng Hock, sebaliknya bertujuan agar mendiang membuat pengakuan sebagai bukti supaya boleh menjadi saksi bagi kes penyelewengan penggunaan peruntukan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) itu.

Keputusan sebulat suara suruhanjaya itu diambil selepas menjalankan siasatan dan penyediaan laporan selama hampir lima bulan membabitkan 70 saksi, termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, pakar forensik dari dalam dan luar negara, ahli keluarga, majikan serta rakan mendiang.

Orang ramai boleh mendapatkan laporan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris itu di Ruang Legar Bangunan Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang JPM, Presint 3, Putrajaya, boleh didapati pada harga RM45 senaskhah, mulai jam 10 pagi ini.
Menurut laporan setebal 136 muka yang diedarkan kepada media semalam, suruhanjaya diraja mendapati Beng Hock didorong untuk membunuh diri berikutan soal siasat agresif, berlarutan dan menindas oleh pegawai SPRM tertentu yang terbabit dalam operasi dijalankan SPRM Selangor pada malam 15 Julai sehingga pagi 16 Julai 2009.





Alasan itu meliputi aspek patologi forensik membabitkan kronologi, masa kematian, kedudukan tubuh apabila ditemui, pola kecederaan, serta pakaian dan barang peribadi.

“Selepas mengambil kira keterangan secara menyeluruh mengenai aspek ini, kami berpendapat TBH (Beng Hock) jatuh dari tingkap di tingkat 14 Plaza Masalam pada pagi 16 Julai 2009 yang bertepatan di atas tempat mayatnya dijumpai,” menurut laporan itu.

Laporan bertarikh 15 Jun lalu itu ditandatangani Pengerusi Suruhanjaya Diraja itu, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan empat ahlinya; Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk Selventhiranathan Thiagarajah, Datuk Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh dan Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom. Laporan itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada 22 Jun lalu, sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mendiang Beng Hock, 30, adalah Setiausaha Politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor aras lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu pada 16 Julai 2009.

SPRM melakukan siasatan berikutan ada maklumat mendakwa ADUN Selangor daripada pakatan pembangkang terbabit dalam mengemukakan tuntutan palsu serta menggunakan peruntukan demi kepentingan parti politik dan bukan faedah orang ramai.

Beng Hock sepatutnya menjadi saksi utama SPRM yang menyiasat dakwaan penyelewengan itu membabitkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor daripada DAP.

Kematian mendiang mencetuskan kontroversi sehingga kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja pada 26 Januari lalu bagi menjalankan siasatan ke atas dua terma rujukan, iaitu sama ada berlaku sebarang perbuatan tidak wajar ketika pemeriksaan dijalankan ke atas Beng Hock dan membuat syor apa-apa tindakan sewajarnya di mana perlu, dan menyiasat kematian Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi serta menyumbang kepada kematiannya.

Beng Hock dilaporkan menjalani empat peringkat soal siasat dan tidak dapat menanggung keraguan, konflik emosi yang keterlaluan serta rasa bersalah yang mendalam, dan apabila putus harapan, mendiang berasa terjebak dan tewas kepada kekecewaan dan mendapati satu-satunya cara melepaskan diri daripada kesengsaraan itu ialah dengan melompat keluar dari tingkap walaupun itu bermakna mengambil nyawanya sendiri.

Tindakan pegawai SPRM mengambil telefon mudah alihnya yang menjadi alat paling kerap digunakan mendiang untuk meredakan tekanan, serta penyerahan komputer riba dan mendedahkan kata laluan akaun e-melnya kepada pegawai SPRM, memberi implikasi kepada mendiang.

“Kami mengambil maklum bahawa hubungan TBH (Beng Hock) dengan ketuanya, YB Ean, adalah mesra dan saling hormat-menghormati. Oleh itu, cubaan mengkhianati ketuanya menyebabkan tekanan kepada TBH. Ada juga faktor penyumbang lain seperti dinafikan hak untuk tidur, persekitaran tidak selesa dan asing, dan berada dalam tahanan bagi jangka masa panjang,” menurut laporan itu.

Suruhanjaya berkenaan menyatakan, perkara paling menyedihkan serta dikesali ialah operasi dijalankan oleh SPRM Selangor sudah menyebabkan kematian mendiang.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu mengiktiraf kepentingan SPRM sebagai agensi berwibawa dalam menangani rasuah serta salah guna kuasa dan berkeyakinan SPRM akan menjadi sebuah agensi penguat kuasa yang disegani dan diteladani pihak lain.


Artikel lain:

  • SPRM teliti cadangan tambah baik siasatan


    INFO
    Kronologi siasatan kematian Teoh Beng Hock


    2009

    • 16 Julai – Mayat Teoh Beng Hock ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.

    • 22 Julai – Kabinet memutuskan satu inkues diketuai seorang majistret bagi menentukan punca kematian.

    • Suruhanjaya Diraja juga diwujudkan untuk meneliti dan mengkaji peraturan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

    • 23 Julai – Laporan kematian mengejut Beng Hock difailkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk memohon tarikh sebutan inkues.

    • 24 Julai - Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar (ketika itu) mengumumkan inkues kematian akan dilaksanakn selama 15 hari bermula 29 Julai.

    • 29 Julai - Prosiding inkues bermula pada jam 9.20 pagi di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

    • 5 Ogos - Saksi pertama yang memberi keterangan adalah Siti Zabedah Yahaya, 41, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di bangunan Plaza Masalam.

    • 19 Ogos - Mahkamah Koroner mengarahkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap kandungan sepucuk surat misteri yang mengandungi butiran berkaitan kematian Beng Hock.

    • 27 Oktober - Keluarga Beng Hock mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah membenarkan mayatnya dikeluarkan dari kubur untuk bedah siasat kedua.

    • 21 November - Kubur Beng Hock digali semula dalam satu upacara yang diadakan di Taman Peringatan Nirvana di Semenyih untuk bedah siasat kali kedua.


    2010

    • 4 November - Prosiding inkues menyiasat kematian berakhir.


    2011

    • 5 Januari – Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau pembabitan pihak ketiga.

    • 26 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong untuk menyiasat kematian Beng Hock serta perjalanan siasatan oleh SPRM.

    • 14 Februari – Suruhanjaya memulakan prosiding.

    • 16 Februari – Keluarga Beng Hock menarik diri daripada terus menyertai prosiding suruhanjaya bagi menyiasat kematian anaknya.

    • 10 Mei – Prosiding suruhanjaya berakhir dengan 70 saksi memberi keterangan. Saksi terakhir adalah pakar perunding forensik psikiatri, Dr Ba'diah Yahya.

    • 27 Mei – SPRM menyerahkan dokumen hujahan bertulis setebal 344 muka surat kepada Suruhanjaya Diraja Siasatan Kematian Beng Hock.

    • 22 Jun – Suruhanjaya menyerahkan laporan hasil siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu.

    • 21 Julai – Laporan suruhanjaya setebal 124 muka surat dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu diumumkan.
Berita Harian Online | Sah bunuh diri

SPRM teliti cadangan tambah baik siasatan


  • Foto

    GAMBAR fail mayat Beng Hock ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.

  • Foto

    BANGUNAN Plaza Masalam Shah Alam.

Foto

BANGUNAN Plaza Masalam Shah Alam.

Pertingkat tanggungjawab banteras jenayah rasuah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti cadangan dan saranan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang diumumkan semalam untuk menambahbaik pelbagai aspek dalam badan itu.
SPRM dalam satu kenyataannya di sini, juga berkata pihaknya menerima keputusan suruhanjaya berkenaan secara terbuka dan sudah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan kes.
Ia akan terus menggalas tanggungjawab yang diamanahkan untuk membanteras jenayah rasuah dan memastikan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat dan negara.

Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam SPRM belum menerima laporan suruhanjaya diraja berkenaan.

"SPRM akan berusaha mendapatkan laporan penuh apabila ia dijual kepada umum esok (hari ini)," katanya.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low ketika ditemui di sini berkata, semua pihak perlu menerima dengan terbuka keputusan suruhanjaya itu yang mendapati mendiang membunuh diri.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat oleh panel yang berpengalaman dan berwibawa yang dipilih untuk menyiasat kematian Beng Hock.

"Kita harus percaya dan menerima keputusan suruhanjaya siasatan kerana panelnya terdiri daripada mereka yang mempunyai integriti," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Bengkel Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM), di sini semalam.

Paul berkata, SPRM juga perlu merombak prosedur soal siasatnya bagi memastikan peristiwa sama tidak berulang pada masa depan.

"Jika itu keputusan suruhanjaya siasatan, ini bermakna SPRM perlu merombak cara mereka menjalankan soal siasat supaya lebih profesional dan dijalankan dengan cara yang betul," katanya.
Berita Harian Online | SPRM teliti cadangan tambah baik siasatan

William, isteri dapat ganti rugi

Terima £200 sistem hiburan pesawat rosak

LONDON: Putera William dan isterinya, Catherine menerima pampasan £200 (RM966) berikutan sistem hiburan dalam pesawat British Airways (BA) rosak ketika dalam perjalanan pulang dari lawatan rasmi di Amerika.
Duke dan Duchess of Cambridge yang duduk di kerusi berharga £5000 (RM24,166) seorang, diberi baucer yang boleh digunakan dalam penerbangan masa akan datang sebagai menggantikan kos kegagalan mereka menonton filem dan hiburan sepanjang lawatan luar negara kali pertama sebagai pasangan diraja, lapor Daily Mirror kelmarin.
Sumber memberitahu akhbar, “Keseluruhan kelas pertama termasuk pasangan diraja itu agak kesal tetapi mereka ditenangkan dengan tawaran BA itu. Tetapi, 10 jam tanpa hiburan dalam pesawat adalah sesuatu yang sukar”.

Jurucakap BA berkata, “Malangnya, ada kerosakan berlaku pada bahagian sistem hiburan dalam pesawat yang tidak boleh diperbaiki sebelum penerbangan berlepas dari Los Angeles.

“Kami memohon maaf kepada mereka yang terbabit dan menawarkan sama ada baucer atau nilai batuan untuk menyuarakan rasa kesal”.

Mereka terlepas menonton wayang termasuk The Fighter lakonan Christian Bale, The Tourist lakonan Angelina Jolie dan filem animasi Gnomeo and Juliet.
Dalam perkembangan sama, akhbar Express.co.uk yang memetik sumber diraja melaporkan William dan isterinya dengan sopan menolak pemberian ganti rugi itu selepas diminta mengisi nama dan alamat penuh untuk melayakkan mereka menerima pampasan itu.

Malah, sepanjang perjalanan 10 jam itu, pasangan itu menghabiskan masa dengan tidur.

Pasangan itu ditemani tujuh pembantu dan empat polis pengawal peribadi menaiki penerbangan BA di Los Angeles pada 10 Julai selepas mengakhiri lawatan 11 hari di Kanada dan California, dengan membeli tiket sehala Kelas Pertama berharga £5000 yang dibiayai pembayar cukai. – Agensi
Berita Harian Online | William, isteri dapat ganti rugi

Rakaman perhimpunan haram ditayang




SEBAHAGIAN daripada rakaman perhimpunan Bersih yang ditayangkan oleh polis di Bukit Aman semalam.


KUALA LUMPUR - Polis semalam menunaikan janjinya apabila menayangkan sebahagian rakaman berhubung perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara 9 Julai lalu.

Rakaman video berdurasi lebih kurang satu jam itu dipertontonkan kepada wakil-wakil media dan juga beberapa ahli badan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Teater Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ketua Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, tanyangan tersebut sebagai bukti untuk menolak enam tohmahan yang dilemparkan kepada polis oleh pihak tertentu melalui rakaman yang tersebar di Internet.

Enam tohmahan itu termasuk provokasi yang dilakukan oleh peserta perhimpunan haram terhadap polis; isu tembakan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin; dakwaan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu dilanggar Land Rover polis serta insiden Baharudin Ahmad, 59, yang meninggal dunia akibat terkena gas pemedih mata.

Salleh memberitahu, polis tidak melakukan sebarang kekerasan kepada para peserta sebaliknya bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan (SOP).

Selain itu katanya, polis telah memberi layanan yang baik kepada peserta perhimpunan yang ditangkap. Salah satunya ialah menyediakan tempat yang selesa untuk diambil keterangan dan menjamu mereka makan.

"Kita terpanggil untuk menayangkan video tersebut sebagai bukti yang polis tidak bertindak kasar ketika perhimpunan tersebut.

"Sebaliknya, kita yang dikasari apabila ada pegawai polis yang terjatuh akibat dirempuh peserta terbabit dalam insiden di Stesen Sentral Kuala Lumpur," katanya.

Kosmo! Online - Negara