Monday, June 21, 2010

Mana api?


Oleh Mohd Roji Kawi

2010/06/21

Penduduk Balai Ringin tagih janji bekalan elektrik sejak 20 tahun lalu

KUCHING: "Tolong kami, bantu kami... kami sudah puas mendengar janji. Dua puluh tahun dulu kami sudah dengar janji api (bekalan elektrik) sudah mahu masuk rumah kami, kemudian tahun lalu pun janji sama kami dengar lagi". 

Itu luahan penduduk di beberapa kampung di Balai Ringin yang mengharapkan bekalan elektrik segera disalurkan ke umah Penduduk menaruh harapan agar mereka juga menikmati kemudahan moden seperti orang lain, tambahan pula mereka bukannya tinggal di pedalaman, sebaliknya rumah mereka terletak di tepi jalan utama dari Kuching ke Sri Aman.

Bukan satu kampung, tetapi semua kampung masyarakat Iban selepas pekan Balai Ringin hingga ke pekan Lachau dikatakan tidak menerima bekalan elektrik. 

Tinjauan di 10 kampung di Balai Ringin iaitu Kampung Ensebang Padang Bilon, Ensebang Kuari, Kampung Sungai Burak, Kampung Ensebang, Kampung Tapang Lebat, Kampung Ensebang Plaie, Kampung Abit, Kampung Telagus, Kampung Jirok dan Kampung Sungai Pinang, mendapati penduduk hanya bergantung kepada jana kuasa untuk mendapatkan bekalan elektrik. 

"Adakah kami tidak layak menikmati kemudahan bekalan elektrik, seperti yang dinikmati babi yang diternak tauke besar dekat seberang kampung kami. 

"Kami minta tolong dengan semua pihak, berilah kemudahan elektrik dengan kami)," kata Tiup anak Atu, 65, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ensebang. Tiup terkilan kerana beliau belum pernah menikmati bekalan elektrik walaupun rumahnya kian usang dan beliau sendiri semakin uzur. 

"Tengoklah kabel elektrik di tepi jalan di depan rumah kami, tetapi mengapa mereka tidak menyambungnya ke kampung kami. Kami bukannya tinggal di dalam hutan)," katanya. 

Lala anak Mongko, 55, penduduk Kampung Abit, pula berkata mereka terpaksa membelanjakan RM200 hingga RM300 sebulan semata-mata untuk mendapatkan bahan api bagi menghidupkan jana kuasa. 

Jumlah itu terlalu tinggi berbanding bil elektrik yang diterima penduduk yang 

Dua bayi perlu bantuan


Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/06/21

Sumbangan keseluruhan RM80,000 rawat jantung berlubang

GEORGETOWN: Dua bayi masing-masing berusia 20 hari dan tujuh bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC), di sini. 

Nur Batrisyia Qistina Zamri, 20 hari, memerlukan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 untuk menjalani pembedahan segera bagi memulihkan saluran jantung dan membolehkannya bernafas dengan lancar.Bapanya, Zamri Zaharo, 30, yang bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan RM1,600 dan ibunya, Norhidayah Othman, 30, seorang suri rumah tidak mampu untuk menampung kos pembedahan itu.Norhidayah ketika ditemui baru-baru ini, berkata mereka tidak mampu menampung kos pembedahan yang tinggi selepas membelanjakan hampir RM6,000 untuk kos bersalin baru-baru ini. 

“Anak kami disahkan menghidap penyakit jantung selepas empat hari dilahirkan akibat mengalami demam kuning yang agak tinggi,” katanya. 

Seorang lagi bayi, Muhammad Afiq Rayyan Zolkifli, tujuh bulan, yang menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran darah sempit memerlukan pembedahan segera bagi memulihkan semula saluran itu. 

Ibunya, Noor Aswani Shabudin, 34, seorang kakitangan swasta dari Gurun, Kedah, buntu memikirkan bagaimana mahu mencari wang untuk tujuan itu selain terpaksa mengharapkan pendapatan suami, Zolkipli Ahmad, 42 yang hanya bekerja sendiri. 
Beliau berkata, keluarganya memerlukan sumbangan untuk menampung kos pembedahan anak sulungnya yang berjumlah RM30,000. 

Sumbangan boleh disampaikan dengan menghantar cek atau wang pos kepada NSTP Charity Fund, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak berkenaan di belakang cek. 

Kebebasan berlebihan punca gejala seks


oleh Faridzwan Abdul Ghafar

2010/06/21

Masalah melanda remaja perlu ditangani secara bersepadu, terap nilai Islam

KUALA LUMPUR: Kekurangan penerapan dan latihan akhlak yang baik menyebabkan gejala salah laku seks berlaku di kalangan remaja. 

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata disebabkan itu, ajaran Islam tidak masuk ke dalam jiwa remaja menyebabkan mereka tidak takut melakukan maksiat.“Kita kena kaji sistem pendidikan dari segi penerapan nilai Islam supaya anak muda kita berakhlak. Untuk menangani gejala keruntuhan akhlak anak muda mesti ada usaha bersepadu dari semua pihak.“Kita memberikan kebebasan yang berlebihan kepada remaja hari ini dan saya menyarankan kita sekat sikit internet seperti yang dilakukan China dan Pakistan demi menjaga akhlak anak muda kita,” katanya kepada Berita Harian, semalam. 

Beliau diminta mengulas laporan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) bahawa lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas, sehingga ada yang menggugurkan janin. 

Kajian itu juga menyatakan, sebahagian besar golongan remaja berkenaan mengakui menerima pendidikan agama mencukupi. 

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata remaja terbabit dengan gejala salah laku seks kerana tidak mendapat hidayah Allah walaupun mereka mengetahui hukum agama dan dosa melakukan zina. 
“Sebab utama perkara sedemikian kerana remaja kita tidak menjaga solat dan kurang mengunjungi tempat seperti masjid atau majlis ilmu. Hukum Islam pada kelompok remaja berkenaan hanya menyentuh telinga saja dan bukannya jiwa mereka. 

“Selain itu, cara ibu bapa mendidik anak dengan corak Barat turut menyumbang kepada masalah berkenaan disamping keengganan mereka mendengar saranan ulama untuk mengatasi gejala maksiat,” katanya. 

Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din, berkata kajian terbaru UPM itu boleh memberi kesedaran kepada masyarakat terutama ibu bapa mengenai realiti remaja sekarang yang mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. 

“Saya menyeru kepada ibu bapa supaya mengambil tindakan dengan memantau aktiviti anak serta meningkatkan pengawasan lebih-lebih lagi ibu bapa yang mempunyai anak gadis. 

“Islam menyanjung tinggi remaja yang menjalani kehidupan dengan berlandaskan agama dan bukannya hawa nafsu,” katanya.

Isu Jemaah Islamiah bukan helah BN




2010/06/21

KLUANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan), membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengatakan isu Jemaah Islamiah (JI) helah Barisan Nasional (BN) dan menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab. 

Beliau berkata, kerajaan tidak tergamak mempermainkan sesuatu isu apatah lagi yang berhubung kait dengan keselamatan negara kerana menganggap ia adalah isu sensitif yang perlu diberi perhatian serius dan ditangani dengan berhati-hati.Katanya, kenyataan Anwar itu tidak bertanggungjawab langsung dan menidakkan kesungguhan pihak berkuasa yang bekerja keras menjaga keselamatan negara apatah lagi kerajaan juga tidak boleh mendedahkan isu keselamatan kepada khalayak ramai secara semberono."Percayalah... saya sebagai menteri yang bertanggungjawab tahu apa yang terpaksa pihak berkuasa lakukan bagi memastikan rakyat termasuk Anwar, selamat dan dapat tidur nyenyak setiap malam. 

"Kalau perkara seperti ini pun kita boleh dituduh sebegitu apatah lagi jika satu hari nanti jika mereka (pembangkang) berdepan masalah nanti... adakah mereka mahu tuduh ia helah kerajaan. 

"Masyarakat sendiri akan melihat betapa pembangkang sanggup menyatakan serta membuat apa saja semata-mata menidakkan kejayaan pihak berkuasa termasuk dalam isu JI ini," katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, di sini, semalam. 

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang merasmikan mesyuarat berkenaan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. 
Kelmarin, akhbar melaporkan kenyataan Anwar yang menganggap isu JI helah BN mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul ketika ini. 
Sementara itu, Hishamuddin berkata, UMNO selepas ini tidak lagi akan menjawab secara defensif terhadap setiap tohmahan serta isu yang dilemparkan pembangkang kepada parti berkenaan. 

"Maklum balas yang kita terima daripada akar umbi ketika mesyuarat UMNO bahagian diadakan adalah mereka mahu UMNO mencabar kembali sebarang isu tidak rasional serta kenyataan berbentuk oportunis yang dibangkitkan kepemimpinan pembangkang. 

"Ahli kita menyuarakan Umno kini perlu lebih tegas dengan menjawab serta mencabar semula setiap tohmahan serta sekian banyak kenyataan mereka yang menyerang UMNO. 

"Akar umbi kita (ahli UMNO Sembrong) ingin mencabar pembangkang yang menuduh UMNO menyogok wakil rakyat mereka keluar parti dengan RM2 juta supaya membuktikan dakwaan itu seperti dilakukan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kelmarin. 

"Hari ini, saya ingin menambah cabaran kepada Anwar dengan pertanyaan, adakah bekas Setiausaha Agung PKR, Dr Chandra Muzaffar dan bekas Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat juga keluar dari parti pembangkang kerana dibayar," katanya. 

Komponen BN kena serang balas fitnah pembangkang: Najib




2010/06/21

HUTAN MELINTANG: Datuk Seri Najib Razak mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan memperbetulkan persepsi buruk rakyat terhadap parti dan kerajaan akibat manipulasi dan pembohongan pembangkang. 

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, BN perlu melakukan serangan balas terhadap tuduhan pembangkang bagi mengelak rakyat terus membenci dan menolak kerajaan.“Pembangkang sering menimbulkan persepsi salah di kalangan rakyat dengan 'memusingkan' sesuatu isu hingga fakta yang kadang kala hanya sedikit benar diperlihatkan seolah-olah kebenaran mutlak."Kadangkala 10 peratus cerita tu (benar) dan kadangkala tak sampai 10 peratus pun benar, tetapi dijadikan sebagai fakta atau kebenaran mutlak dan kita berdepan soal mainan persepsi pembangkang yang hari ini saya akui kita tidak berapa cekap untuk memperbetulkannya. 

"Masalahnya bukan UMNO tak baik, bukan UMNO tak memperjuangkan nasib rakyat, bukan BN tak baik, bukan BN tak banyak jasa membangunkan negara kita, tetapi kerana soal mainan politik pembangkang menjadi masalah kepada kita. 

"Sebab itulah hari ini, jika dulu tak perlu kita lakukan perkara ini (perbetulkan persepsi), dulu (pentingkan) soal pembangunan saja... sekarang ni politik mesti perbetulkan persepsi. 

“Kalau kita beri peruntukan saja tak cukup, kita beri peruntukan kepada sekolah Cina pun tak cukup, sebab akibat persepsi ada lagi yang tak puas hati. Jadi kita kena betulkan persepsi ini, buat serangan balas macam pasukan Piala Dunia,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di Wisma Umno bahagian itu di sini, semalam. 
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan projek pembinaan limbungan kapal NGV Tech Sdn Bhd dan menyampaikan lesen menduduki sementara (TOL) kepada penduduk setinggan serta menyampaikan surat tawaran Program Bantuan Rumah oleh FELCRA. 

Pada sebelah petang, beliau menghadiri majlis mesra rakyat bersama masyarakat Cina di Bagan Cina, Kampung Sungai Tiang diikuti tinjauan mesra. 

Perdana Menteri berkata, dua isu yang dicanangkan pembangkang hingga wujud persepsi buruk terhadap kerajaan ialah kerosakan kapal selam dan kehilangan dua enjin pesawat F5E milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Perdana Menteri yakin sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti akan dipulih dan diperteguhkan, malah lebih teguh menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, asalkan semua pihak mengambil iktibar daripada tsunami politik 2008. 

Di PAGOH, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pimpinan BN memberi penjelasan kepada rakyat termasuk mendedahkan penipuan, pembohongan dan fitnah disebarkan pembangkang dengan mengambil pendekatan ‘menyerang’, bukan lagi bertahan. 

Timbalan Perdana Menteri, berkata seruan Najib supaya BN berhenti bertelagah dan bersatu bagi memastikan BN terus kekal perlu diberi perhatian semua pemimpin BN. 

“Jika kita bertahan dan tidak ‘menyerang’, banyak fitnah (akan terus) disebarkan pembangkang mengenai kerajaan, parti, berkaitan ekonomi, politik dan sosial yang kadang-kadang boleh memperdayakan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sewajarnya mempertikaikan ancaman Jemaah Islamiah (JI) di negara ini kerana ia berdasarkan fakta dan bukannya sentimen politik. 

Ular baham ternakan ditangkap



MAT ARIF menunjukkan ular sawa batik yang berjaya ditangkap 
di Kampung Bukit Rangin, Kuantan kelmarin.


KUANTAN - Misteri kehilangan dua ekor kambing dan 15 ekor ayam peliharaan penduduk Kampung Bukit Rangin, di sini sejak sebulan lalu terjawab apabila mereka berjaya menangkap seekor ular sawa batik di paya dekat belakang kampung itu kelmarin.
Ketika ditangkap kira-kira pukul 5 petang, ular sawa sepanjang kira-kira tujuh meter dan seberat 70 kilogram itu masih hidup sebelum reptilia itu didapati mati kerana dipercayai lemas akibat dikurung dalam sebuah tong kayu.
Seorang penduduk, Mat Arif Mohamad, 50, berkata, beliau bersyukur kerana ular itu akhirnya berjaya ditangkap.

Tembok Penjara Pudu roboh malam ini



TEMBOK Penjara Pudu yang dipenuhi dengan mural bakal dirobohkan malam ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran Jalan Pudu.


KUALA LUMPUR - Tiba detik 10 malam ini, tembok Penjara Pudu di sini yang berusia 100 tahun, setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.
Seandainya tembok itu boleh berkata-kata, mungkin ia akan mengatakan bahawa 100 tahun sudah cukup baginya menyaksikan pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dan kini tiba masa untuk merelakan dirinya tumbang menyembah bumi setelah 14 tahun dilanda kesepian.
Mungkin ia juga akan mengatakan bahawa dirinya yang dahulunya gah dengan mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini sudah tidak bererti lagi.
Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

PEMUDA BESUT: Akibat Ketirisan, Rasuah Malaysia Bankrap 2015?

PEMUDA BESUT: Akibat Ketirisan, Rasuah Malaysia Bankrap 2015?

Sunday, June 20, 2010

Lepas ni ada budak Universiti kena tangkap atas tuduhan anggota JI

Jangan Terpengaruh Dakyah Pembangkang Mengenai Jemaah Islamiah - Najib
BAGAN DATOH, 20 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat meletakkan kepercayaan mereka kepada pihak berkuasa daripada terpengaruh dengan dakyah pembangkang berhubung isu militan Jemaah Islamiah (JI).

Beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang benar dan bukanlah perkara yang diada-adakan untuk mengalih perhatian rakyat seperti dakwaan sesetengah pihak.

"Isu itu (militan JI) merupakan soal keselamatan negara dan sememangnya kerajaan mengetahui mengenai adanya penglibatan daripada kalangan pensyarah kanan di universiti tempatan dalam kegiatan militan tersebut.

"Jadi sebab itulah kita mesti percaya dan yakin bahawa ini satu ancaman dan kita serah kepada pihak berkuasa sebab pihak berkuasa kita terutama sekali pihak polis dan anggota perisik memang mempunyai banyak pengalaman dalam menangani ancaman JI dan kumpulan militan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pembinaan Limbungan Kapal NGV Tech Sdn Bhd sempena lawatan kerja beliau ke kawasan Parlimen Bagan Datoh di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tahap keselamatan negara ekoran pendedahan mengenai ancaman JI.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Najib berkata berdasarkan keberkesanan tugas yang dilakukan pihak keselamatan dalam menangani isu-isu keganasan, kerajaan dapat menghindarkan sebarang insiden yang meragut nyawa dan kerosakan harta benda seperti yang berlaku di negara-negara lain.

Beliau berkata, segala tindakan yang dilakukan adalah untuk tujuan pencegahan kerana tidak mahu menyesal nanti dan kerajaan dipersalahkan kononnya tidak mengambil langkah pencegahan.

"Jadi kita mesti ada kepercayaan kepada anggota polis dan pihak berkuasa yang terlibat menjaga keselamatan negara bahawa mereka mampu menghindar negara kita daripada sesuatu yang berlaku.

"Kalau kita meragui perkara ini dan kalau sesuatu berlaku (nanti) kita akan menyesal dan bila berlaku kerajaan pula akan dipersalahkan kononnya kita tidak mengambil tindakan pencegahan tapi bila kita ambil tindakan pencegahan mereka kata pula kita ada-adakan isu ini," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dimainkan pembangkang kerana mereka hanya cuba mengeksploitasi sesuatu isu tanpa memikirkan fakta demi keuntungan politik.

"Jadi ini sengaja dimainkan parti pembangkang. Biasalah...kita buat pun mereka kata kita tak betul, kita tak buat pun dia kata kita tak betul. Jadi rakyat mesti faham ini politik," kata Najib.

Khamis lepas, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isu mengenai JI hanya helah Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul ketika ini.

-- BERNAMA

Lebih Banyak Kamera Dipasang Untuk Pertingkat Keselamatan Dubai


Oleh Muin Abdul Majid

DUBAI, 20 Jun (Bernama) -- Dubai, tempat berlakunya pembunuhan seorang agen Hamas awal tahun ini, akan dilengkapi dengan lebih banyak kamera pemantau bagi meningkatkan keselamatan, demikian menurut seorang pegawai polis.

Ketua Polis Dubai Lt Jen Dahi Khalfan Tamim berkata langkah itu perlu, selaras dengan sebuah bandaraya yang berkembang pesat.

"Kita akan mempunyai kamera di serata tempat," katanya kepada harian The National.

Harian itu menyatakan terdapat 25,000 kamera keselamatan di Dubai, salah sebuah negara bandaraya di Emiriah Arab Bersatu.

Jumlah itu dijangka meningkat dengan pemasangan kamera berkalih yang boleh meliputi "sudut tersembunyi".

Tamim berkata pasukan polis akan bertugas mengikut pelan strategik yang dikaji dengan baik dan tidak setakat bertindak balas terhadap peristiwa tertentu.

Kira-kira 500 juta dirham akan dibelanjakan untuk mempertingkat keselamatan Dubai, lapor harian itu.

-- BERNAMA

Parlimen Tidak Perlu Putuskan Kedudukan Tian Chua, Kata Nazri Aziz


PADANG RENGAS, 20 Jun (Bernama) -- Parlimen tidak perlu memutuskan sama ada Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berikutan denda RM2,000 yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau sebaliknya berkata semua pihak perlu berpegang kepada keputusan Hakim Ghazali Cha bahawa keputusannya mengurangkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 kepada denda RM2,000 adalah bagi mengelak berlakunya pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu yang diwakili Tian Chua.

"Dalam soal Tian Chua, yang berhak untuk mengintepretasi undang-undang ialah hakim. Jadi kepada saya tidak perlu Parlimen memutuskan.

Hakim telah memutuskan bahawa dia mendenda Tian Chua RM2,000 kerana dia tidak mahu Tian Chua hilang kelayakan. Kita kena ikut dia (hakim) punya intepretasilah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Umno Bahagian Padang Rengas di sini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu mengulas laporan akhbar The Star hari ini bahawa Parlimen perlu membuat keputusan berhubung status Tian Chua dan keputusan Parlimen itu kelak adalah muktamad.

Di bawah Artikel 48 (1)(e) Perlembagaan, seorang ahli Parlimen hilang kelayakan jika dikenakan hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, dan tidak mendapat pengampunan.

Sementara itu Mohamed Nazri berkata cadangan untuk membina bangunan Parlimen baru seperti yang dinyatakan beliau sebelum ini masih dalam peringkat pertimbangan dan semua pihak khususnya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) boleh mengemukakan pandangan masing-masing berhubung perkara itu.

-- BERNAMA

Kerajaan Selangor Serah Kepada Polis Untuk Siasat Kes Ugutan Bunuh


SHAH ALAM, 20 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes seorang lelaki yang didakwa menerima ugutan bunuh berikutan pendedahan mengenai masalah kerosakan lif di pangsapuri Taman Permai Indah, Pelabuhan Klang, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata hanya siasatan polis yang boleh menentukan kesahihan dakwaan itu.

"Saya tidak tahu sama ada ugutan itu benar atau untuk menagih simpati atau kerana beliau kepanasan disebabkan rasa bersalah. Saya juga tidak tahu siapa yang begitu marah kepada penduduk tersebut sehingga mahu membunuhnya," katanya.

Dalam kenyataan di sini pada Ahad, katanya beliau telah mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa penyiasat bagi menentukan sama ada kecurian dan kerosakan kepada alat ganti lif berkenaan adalah satu tindakan sabotaj.

Semalam, Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) A.Prakash mendakwa menerima dua ugutan bunuh dalam dua hari berturut-turut daripada seorang lelaki yang menghubunginya melalui telefon bimbit.

Prakash, yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah, mendakwa ugutan bunuh itu dipercayai ada kaitan dengan pendedahan yang dibuatnya mengenai kegagalan kerajaan Selangor melaksanakan kerja baik pulih lapan lif di empat blok kediaman itu yang rosak sejak 10 bulan lepas.

Prakash telah membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh itu di Balai Polis Pandamaran semalam.

-- BERNAMA

Kerajaan Kelantan Lantik 13 Timbalan Exco Kerajaan Negeri



KOTA BAHARU, 20 Jun (Bernama) -- Kerajaan PAS Kelantan melantik 13 Timbalan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk meringankan beban tugas anggota Exco biarpun ia akan menambahkan defisit kewangan kerajaan negeri berikutan pertambahan jawatan itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata jawatan timbalan exco baru itu yang diwujudkan berkuatkuasa 1 Jan lepas.

Pelantikan timbalan exco itu juga kerana Exco yang ada bukan sahaja bertanggungjawab mentadbir kerajaan negeri tetapi perlu juga menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing, kata beliau.

"Menyedari hakikat inilah kerajaan negeri terpaksa mewujudkan jawatan Timbalan Exco terdiri daripada wakil rakyat bagi membantu tugas Exco yang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan Timbalan-timbalan EXCO itu di sini.

Pada 25 Okt tahun lalu, ketika pembentangan bajet negeri, Kerajaan Negeri Kelantan dianggar mengalami bajet defisit sebanyak RM29.50 juta pada tahun ini dengan perbelanjaan mengurusnya dianggarkan berjumlah RM416.88 juta berbanding hasil yang dianggar berjumlah RM387.38 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata defisit bagi tahun 2010 dijangka berjumlah RM29.50 juta berbanding defisit bajet 2009 berjumlah RM20.20 juta.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata Kelantan akan terus mengalami defisit belanjawan selagi negeri itu gagal mencari punca hasil baru bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat.

Nik Abdul Aziz berkata tiga Exco mempunyai dua timbalan memandangkan skop portfolio yang disandangnnya besar dan luas iaitu Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, yang dipergerusikan Exco Kanan, Datuk Husam Musa; Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, yang dipengerusikan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan.

Exco lain yang mempunyai seorang timbalan ialah Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri dipengerusikan Dr Mohd Fadzli Hassan; Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Anuar Tan Abdullah.

Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Desa dan Bioteknologi Che Abdullah Mat Nawi; Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Wan Ubaidah Wan Omar, Jawatankuasa Perumahan, Kerja raya, Utiliti dan Alam Sekitar Mohd Anizam Abdul Rahman serta Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan Negeri Abdul Fatah Mahmood.

Nik Abdul Aziz berharap dengan pelantikan jawatan timbalan itu akan melincinkan lagi pentadbiran negeri di samping dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cekap.

-- BERNAMA

Lelaki sakit jantung kemungkinan mati pucuk - pakar


20/06/2010 3:52pm

KUALA LUMPUR — Tujuh daripada 10 pesakit lelaki yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini untuk rawatan sakit jantung, didapati mengalami mati pucuk (ED), demikian menurut pakar kardiologi hospital berkenaan, Dr. Ramesh Singh Veeriah.
Jelasnya, dalam kajian yang dilakukan tahun lepas ke atas 111 pesakit lelaki yang pada mulanya aktif seks dan selepas mereka dimasukan ke PPUM untuk rawatan sakit jantung, 75.7 peratus daripada mereka didapati sudah mengalami ED.
"ED ini dikesan berlaku enam bulan sebelum mereka dimasukkan ke PPUM,” katanya.
Data berkenaan dimuatkan dalam kertas kerja beliau yang dibentangkan pada Kongres Kardiologi Sedunia di Beijing, China hari ini.
Dr. Ramesh berkata, 219 pesakit jantung lelaki dimasukkan ke unit penjagaan kardiologi hospital berkenaan dari April 2008 hingga Februari tahun lalu dan daripada jumlah itu, 192 telah diperiksa dan hanya 111 pesakit yang aktif seks sejak enam bulan sebelum itu yang diuji untuk ED.
Beliau juga berkata, ED dan Penyakit Arteri Koronari (CAD) mempunyai faktor risiko persamaan yang banyak dan saling berhubung rapat. — Bernama

Duta Israel beri amaran kepada konvoi baru


NEW YORK 19 Jun - Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa kerajaan Lebanon dan masyarakat antarabangsa supaya mencegah sekumpulan kapal kecil daripada cuba mencabar sekatan terhadap Gaza, dengan memberi amaran untuk menggunakan 'semua tindakan yang perlu' bagi menghentikan konvoi tersebut.
Gabriela Shalev melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, memberi amaran cubaan penganjur untuk belayar dari Lebanon bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, boleh meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada keamanan serta keselamatan di rantau itu.
Surat Shalev diserahkan tidak lama selepas Ki-moon mendesak rejim Zionis bersetuju dengan satu siasatan antarabangsa berikutan serangan maut komando Israel ke atas kapal Turki yang membawa bantuan ke Gaza pada 31 Mei lalu dan berbuat 'lebih tindakan' bagi memenuhi keperluan rakyat Palestin yang hidup di bawah sekatan tiga tahun mereka.
"Situasi ini mengambil kira konflik berterusan Israel dengan Hamas yang mengawal Gaza, tujuan kapal-kapal itu untuk mencabar sekatan dan pelayaran mereka dari Lebanon, yang masih dianggap sebagai sebuah negara yang bermusuhan dengan Israel.
"Israel mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk melakukan apa sahaja tindakan bagi mencegah kapal-kapal itu daripada mencabul sekatan laut sedia ada yang dikenakan terhadap Genting Gaza," kata duta itu melalui suratnya.
Rejim Yahudi itu menguatkuasakan sekatan pada 2007 selepas Hamas memerintah Gaza.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak desakan menarik balik sekatan, dengan menegaskan ia boleh menghalang serangan peluru berpandu terhadap Israel.
Shalez berkata, niat sebenar penganjur flotila dari Lebanon 'mencurigakan', berdasarkan kenyataan sukarelawan dalam media yang mengatakan mereka berhasrat untuk 'mati syahid'.
Duta itu turut membangkitkan 'satu hubungan yang mungkin' antara penganjur dengan kumpulan Hizbullah Lebanon dan berkata Israel tidak boleh mengenepikan kemungkinan bahawa pengganas atau senjata mungkin diseludup dalam flotila berkenaan.
"Berdasarkan pandangan ini, Israel menggesa Lebanon mencegah kapal-kapal itu daripada belayar ke Genting Gaza. Israel juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya menggunakan pengaruhnya dalam usaha menghalang konvoi flotila itu daripada belayar dan tidak menggalakkan negara luar daripada terlibat dengan misi sama," ujar Shalez. - AP

Hari lahir dalam tahanan rumah


ANGGOTA NLD menyiapkan kek hari lahir dalam sambutan ulang tahun kelahiran ke-65 Suu Kyi di rumah seorang penyokong di Yangon, semalam. - REUTERS


YANGON 19 Jun - Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi menyambut ulang tahun kelahiran ke-65 di bawah penahanan rumah hari ini ketika aktivis dan pemimpin seluruh dunia terus mendesak junta membebaskan beliau.
Rejim tentera telah menahan pemenang Hadiah Nobel itu selama hampir 15 tahun dan menghalang beliau dari bertanding dalam pilihan raya yang bakal diadakan, yang dikritik sebagai satu tipu daya yang bertujuan mengukuhkan kedudukan jeneral-jeneral.
Dalam satu mesej hari lahir, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memuji Suu Kyi sebagai seorang yang 'mempunyai keazaman, keberanian dan sanggup berkorban bagi menjayakan hak asasi manusia dan perubahan demokratik'.
"Saya sekali lagi menggesa kerajaan Myanmar supaya membebaskan Suu Kyi dan semua tahanan politik dengan segera tanpa sebarang syarat bagi membolehkan mereka membina Myanmar yang lebih stabil, lebih makmur dan menghormati hak semua rakyatnya," tegas beliau lagi.
Kira-kira 400 penyokong ikon demokrasi itu mengadakan satu majlis hari jadi di rumah mereka di utara Yangon tanpa kehadiran Suu Kyi.
"Kami ahli Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan rakan-rakannya mendoakan supaya Suu Kyi akan dibebaskan tidak lama lagi," kata Win Tin, seorang bekas tahanan politik dan pemimpin kanan NLD.
Penyokong Suu Kyi yang sebahagian daripadanya memakai kemeja-T tertera imej wanita tersebut, berdoa di hadapan potretnya dan memotong kek hari jadi.
Ahli-ahli NLD turut menanam lebih 20,000 anak pokok di seluruh Myanmar bagi meraikan hari lahir pemimpin itu, sementara pelbagai majlis turut dirancang di bandar-bandar seluruh dunia daripada berjaga malam sambil memasang lilin di Tokyo dan Auckland hingga kepada perhimpunan perpaduan di Washington.
Di Prague, aktivis kemanusiaan menulis mesej buat ikon demokrasi itu pada satu dinding grafiti yang dihiasi gambar Suu Kyi.
Penyokong beliau turut menyatakan mesej sokongan di Facebook dan laman-laman web rangkaian sosial lain. - AFP