Wednesday, June 23, 2010

14 banduan dapat pengampunan



KUALA LUMPUR - Bagi tempoh 2000 hingga 2009, seramai 14 banduan yang dijatuhi hukuman mati telah diberi pengampunan, termasuk dua yang dibebaskan. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tujuh daripada mereka kini menjalani hukuman penjara seumur hayat, manakala empat diringankan kepada penjara 20 tahun. 

Dua yang dibebaskan oleh Jemaah Pengampunan Negeri adalah termasuk seorang yang sebelum ini telah diringankan hukumannya kepada penjara seumur hayat, katanya menjawab soalan bertulis Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.        

“Berdasarkan Peraturan 114, Peraturan-peraturan Penjara 2000, banduan akhir boleh mengemukakan petisyen atau ray:uan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri bagi negeri di mana kesalahan itu dilakukan. 

:“Bagi banduan hukuman mati yang ingin mengemukakan petisyen, mereka akan dibantu oleh Jabatan Penjara dalam menyediakan petisyen berkenaan,” kata Hishammuddin. 

:Sementara itu ketika menjawab soalan berlainan, Timbalan Menteri berkenaan Datuk Abu Seman Yusop berkata Jabatan Perkhidmatan Awam sedang menimbang permohonan dasar kenaikan pangkat pegawai penjara. 

:Beliau berkata ianya melibatkan skim perkhidmatan Wadar gred KX17 sehingga Sub-Inspektor gred KX26, skim perkhidmatan Penolong Penguasa gred KX27 sehingga gred KX38 dan skim perkhidmatan Penguasa Penjara gred KX41 hingga KX54. 

“Pada 21 Mei lepas, Jabatan Penjara telah mengemukakan permohonan bagi memperkemas dasar kenaikan laluan kerjaya pegawai penjara. Ia juga dasar kenaikan pangkat bagi skim perkhidmatan penjara di setiap satu gred yang diselaraskan setiap lima tahun atau tertakluk kepada kekosongan jawatan, yang mana lebih awal,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji pegawai penjara memandangkan tugas mereka yang berisiko tinggi. 

Abu Seman berkata Jabatan Penjara sebelum ini telah mengemukakan permohonan kenaikan gaji bagi anggotanya di peringkat Wadar gred KX17 sehingga Timbalan Komisioner gred KX54 namun tidak diluluskan. - Bernama

No comments:

Post a Comment