Wednesday, June 23, 2010

DEB itupun dah rasis dah

Penentang DEB adalah rasis

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kumpulan penentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan golongan perkauman atau rasis dalam erti kata mereka hanya peduli kaum mereka sahaja, kata tokoh media, Datuk Abdul Kadir Jasin.
Beliau memberitahu, segelintir orang Melayu dan bumiputera yang menjadi kaya raya kerana DEB tetapi sudah menjadi 'kacang lupakan kulit' dan 'kaduk naik junjung' dengan menentang dasar tersebut, merupakan pengkhianat bangsa serta negara.
"Kumpulan penentang ini lupa bahawa Malaysia aman dan damai kerana sikap toleransi serta pengorbanan kaum majoriti iaitu bumiputera.
"Mereka bermain dengan api jika mereka berasa bahawa atas nama globalisasi dan persaingan mereka boleh menolak hak kaum majoriti bumiputera untuk sama-sama mendapat faedah daripada pembangunan negara," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam entri terbarunya di dalam blog beliau dihttp://kadirjasin.blogspot.com.
Abdul Kadir mengulas tindakan kumpulan penentang ini menghentam Pengarah Eksekutif Kumpulan CIMB Berhad, Datuk Seri Mohd. Nazir Abdul Razak yang menegaskan bahawa matlamat DEB perlu dikaji semula dan diperkuatkan.
Kenyataan Mohd. Nazir itu disiarkan dalam temu ramah eksklusif dengan Mingguan Malaysiapada 20 Jun tersebut antara lain menyatakan matlamat DEB membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat masih relevan serta perlu dikekalkan.
Mohd. Nazir juga berpendapat bahawa pada masa sama perlu ditambah satu lagi matlamat (iaitu) membina dan mewujudkan masyarakat bumiputera yang lebih kompetitif.
Abdul Kadir menjelaskan, adalah wajar orang Melayu dan kaum-kaum bumiputera melihat isu ekonomi, atau lebih tepat kemunduran mereka dalam bidang ekonomi sebagai isu yang melepasi politik kepartian kerana kelangsungan mereka sebenarnya berada dalam ancaman.
Tegas beliau, sekiranya dasar ekonomi bebas laissez faire diamalkan semula seperti sebelum 13 Mei 1969, besar kemungkinan bumiputera akan hilang tempat bergantung dan ketika itu kembalilah mereka menjadi buruh serta petani yang 'cukup-cukup makan' sahaja.
"Sekarang pun, majoriti bumiputera berada dalam kategori buruh (labour) dalam struktur pengeluaran kerana modal dan pengurusan umumnya dikuasai oleh bukan bumiputera.
"Walaupun bumiputera menguasai guna tenaga sektor awam, tetapi 80 peratus pekerjaan adalah di sektor swasta serta tanah milik bumiputera pun semakin hari semakin berkurangan kerana diambil alih untuk pembangunan atau terlepas ke tangan bukan bumiputera," kata Abdul Kadir.
Tambah beliau, majoriti daripada 40 peratus dalam kategori berpendapatan rendah yang dikenal pasti oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) itu adalah bumiputera.
"Adalah amat wajar kita memberi perhatian kepada saranan Mohd. Nazir kerana dia adalah contoh bumiputera yang berjaya, anak orang besar dan pengurus sebuah bank raksasa. Cakapnya bukan cakap kedai kopi.
"Kalau beliau berkata matlamat DEB membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat masih relevan dan perlu dikekalkan, saya tidak segan silu menyokongnya 100 peratus," tegasnya.
Beliau menambah, saranan Mohd. Nazir agar dibina dan diwujudkan masyarakat bumiputera yang lebih kompetitif demi kelangsungan orang Melayu serta keamanan negara amat perlu sekali.
Tegasnya, tidak ada negara boleh dianggap bertamadun dan sejagat jika bangsa serta kaum majoriti tertindas dan terpinggir.
Abdul Kadir memberitahu, ini kerana keamanan dan toleransi tidak akan wujud dengan sendirinya.

No comments:

Post a Comment