Wednesday, June 23, 2010

Bayar sewa rumah tertunggak setahun

MELAKA: “Dengan wang (bantuan) ini, saya percaya mampu membantu saya untuk menjelaskan sewa rumah yang tertunggak sekian lama sejak setahun lalu,” kata Rohaya Mohd, 27, salah seorang penerima bantuan sewa rumah untuk golongan miskin tegar bandar di negeri ini.
Ibu tunggal kepada empat orang anak itu, berkata dia bersyukur tidak terhingga kerana bantuan yang diberikan mampu membantu dirinya melangsaikan sewa rumahnya yang sudah lama tertunggak akibat masalah kewangan yang dihadapinya.
“Tanggungan saya besar memandangkan anak-anak masih kecil dan perlu perbelanjaan sekolah yang begitu banyak selepas berpisah dengan suaminya sejak tahun lalu.

“Dengan pendapatan kurang daripada RM600 sebulan sebagai pembantu tukang masak di sebuah pasar raya ianya sudah tentu tidak mampu untuk membantu saya melunaskan semua bil dan sewa rumah dalam satu masa.

“Namun begitu, dengan bantuan ini ianya pasti mampu membantu meringankan bebanan yang saya terpaksa tanggung seorang diri,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan Bantuan Sewa Rumah untuk Golongan Miskin Tegar Bandar negeri di Ayer Keroh, di sini, baru-baru ini.

Rohaya menerima bantuan yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Bakaruddin Othman.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Datuk Bandar Majlis Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB), Datuk Yusof Jantan.

Pada program berkenaan, seramai 190 keluarga miskin menerima bantuan sewa rumah berbentuk cek sebanyak RM1,488 untuk bayaran selama setahun dengan kadar RM124 sebulan.

Menurutnya yang menetap di Rumah Pangsa Kampung Padang, dia hanya mengetahui mengenai bantuan berkenaan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasannya dan cuba mendapatkannya.

Sementara itu, Bakaruddin berkata, bantuan sewa rumah itu antara Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) anjuran kementeriannya yang bermula sejak 2006 bagi membantu meringankan beban tanggungan keluarga miskin.

No comments:

Post a Comment