Monday, June 7, 2010

6 lagi dijangka tiba malam ini

KUALA LUMPUR: Empat aktivis Malaysia dan dua wakil media yang berada di atas kapal MV Rachel Corrie yang ditawan tentera Israel ketika dalam perjalanan misi kemanusiaan ke Gaza, kelmarin dijadual tiba di tanah air pada jam 7.40 malam ini.

Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz, berkata semua mereka dalam keadaan sihat dan selamat bakal pulang dengan menaiki penerbangan Royal Jordanian yang berlepas jam 2 pagi tadi waktu tempatan. Abdul Malek berkata, enam rakyat Malaysia yang dibebaskan tentera Israel pagi semalam tiba di Crown Plaza Hotel, Jordan, kira-kira jam 6.15 petang waktu Malaysia.

“Mereka semua kini sedang berehat kerana keletihan. Sebelum terbang pulang ke Malaysia mereka akan menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat di rumah saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro dari sini, semalam.


Menurut Abdul Malek, majlis itu diadakan bagi memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana semua yang ditahan sudah dibebaskan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun mereka mengalami tempoh yang sukar. Empat aktivis terbabit ialah anggota Pertubuhan Damai Perdana Global, Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu serta Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria manakala dua wakil media ialah Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin daripada TV3.

No comments:

Post a Comment