Monday, June 7, 2010

Tunggu 14 tahun sebelum tunai haji



Senarai menunggu yang terlalu ramai dan kuota terhad jadi punca


KUALA LUMPUR: Senarai menunggu yang terlalu ramai menyebabkan individu yang mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) pada tahun ini perlu menunggu selama 14 tahun lagi sebelum dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd, Mejar (Bersara) Mohd Ramli Othman, berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana kuota yang diperuntukkan Arab Saudi kepada negara ini hanyalah sebanyak 26,000 orang setahun.'Ini adalah berita sedih kepada individu yang ingin mengerjakan haji dengan segera dan jika kuota tidak ditambah mereka yang mendaftar pada tahun ini hanya boleh berbuat demikian pada 2024 atau 2025,' katanya.Beliau berkata demikian pada Pameran dan Persidangan Zon Perniagaan dan Pelaburan Muslim World Biz 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kelmarin.Mejar Mohd Ramli membentangkan kertas kerja bertajuk 'Perspektif Tabung Haji Terhadap Haji, Umrah dan Pelancongan Islam', di pameran dan persidangan itu yang dianjurkan oleh OIC International Business Centre Sdn Bhd.Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kos mengerjakan haji akan terus bertambah setiap tahun berikutan peningkatan kadar sewa hotel dan pengangkutan.'Makkah kini disenaraikan antara bandar yang paling mahal di dunia, contohnya sewa bas yang dikenakan bagi tempoh 20 hari adalah RM98,000 ($41,956).'Bagi mereka yang mahu menyewa hotel berdekatan Masjidil Haram dan mendapat lain-lain kemudahan terbaik perlu membayar harga yang tinggi iaitu kira-kira RM166,000 seorang.'Ini lebih tinggi berbanding kadar bayaran biasa yang dikenakan oleh TH iaitu RM9,980 seorang,' ujarnya.Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, tabiat sebahagian besar rakyat Malaysia yang suka membeli-belah masih tidak dapat ditinggalkan walaupun ketika mengerjakan haji.'Adalah dianggarkan jemaah haji negara ini membelanjakan sebanyak RM100 juta setahun untuk membeli-belah ketika berada di Arab Saudi,' katanya. -- Mingguan Malaysia.

No comments:

Post a Comment