Monday, June 7, 2010

Zionis perlu mohon maaf'

KUALA LUMPUR: Keganasan dan kekejaman tentera Israel terhadap sukarelawan misi kemanusiaan ke Gaza semakin menaikkan semangat Malaysia untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin bagi memastikan suatu hari nanti mereka dapat hidup bebas daripada penindasan rejim Zionis.
Menganggap dua belas rakyat Malaysia sebagai wira negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kejadian itu membuka mata dunia mengenai keganasan rejim Zionis yang bukan saja terhadap rakyat Palestin, malah terhadap orang asing yang mahu menghulurkan bantuan.

“Sungguh zalim dan tanpa belas kasihan mereka menyerang dan menembak dari jarak dekat aktivis tidak bersenjata, malah ada yang ditembak dari belakang tanpa alasan.

“Saya akan membawa usul mengutuk kekejaman Israel di Parlimen esok (hari ini) dan tindakan itu tidak terhenti dalam bentuk usul saja. Ia akan ada susulan dalam apa juga bentuk supaya Israel sedar apa yang mereka lakukan tidak boleh diterima dunia dan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya dalam ucapan selepas mengadakan pertemuan dengan dua belas sukarelawan Malaysia yang selamat kembali ke tanah air di kediamannya di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Israel bukan saja perlu meminta maaf, malah perlu memberi ganti rugi kepada keluarga sembilan warga Turki yang dibunuh tentera mereka dalam kejadian serangan kapal Mavi Marmara.
“Saya sebenarnya amat lega kerana sukarelawan kita selamat dan berterima kasih kepada Jordan yang berusaha membebaskan mereka menerusi saluran diplomatik.

“Sebelum ini saya dapat bayangkan tekanan yang dihadapi sukarelawan kita yang ditahan termasuk keluarga mereka. Oleh itu, saya berazam, Kerajaan Malaysia perlu melakukan apa saja untuk membebaskan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua misi sukarelawan Malaysia daripada Haluan Palestin, Noorazman Mohd Samsuddin berkata, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan mereka ketika hilang punca dalam tahanan di Penjara Besherfa, Israel.
“Tiada apa lagi yang menakutkan apabila kami diikat dan diseret ke penjara tanpa mengetahui sampai bila ditahan, malah mungkin Penjara Besherfa itu disediakan untuk kami kerana tilam masih berplastik, tuala berbau kedai dan baju ada tanda harga.

“Apa yang boleh saya katakan wira sebenar adalah rakyat Malaysia yang bersama-sama memberi tekanan kepada kerajaan Israel untuk membebaskan kami. Kami juga memohon maaf kerana menyusahkan anda semua,” katanya.

Dalam pada itu, isteri Perdana Menteri juga akan berusaha mengumpul dana bagi menyalurkan bantuan kewangan AS$5,000 (RM16,500) untuk setiap keluarga sembilan warga Turki yang terbunuh dalam serangan tentera Israel itu.

No comments:

Post a Comment