Monday, June 7, 2010

Saifuddin serah kepada peguam




SHAH ALAM – Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau tidak perlu meminta maaf berhubung kes saman difailkan Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini, kerana perkara itu sudah diselesaikan dalam perbahasan di Dewan Rakyat April lalu, 

Katanya, apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan menolak usul untuk membawa Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bermakna perkara itu sudah selesai. 

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pada persidangan Parlimen itu, Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menghantar notis bertulis meminta speaker merujuk beliau ke jawatankuasa itu kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya. 

Bagaimanapun, selepas beliau diminta mengemukakan hujahan balas atas tuduhan itu, speaker mengumumkan bahawa usul yang dibuat Ibrahim ditolak, menandakan tidak ada unsur fitnah pada kenyataannya itu. 

“Dalam usulnya Ibrahim menyatakan, ketika saya membuat ucapan di Parlimen, saya ada mengeluarkan kenyataan dengan menuduh dia mempunyai saham dalam syarikat judi milik Vincent Tan. 

"Sedangkan saya sebenarnya mengatakan yang dia terbabit atau mempunyai kepentingan perniagaan dengan syarikat itu, bukan menuduh beliau mempunyai saham dalam syarikat itu. 

“Ketika menyampaikan hujah pembelaan, saya sebut ada perbezaan antara kenyataan ‘ada saham dengan syarikat judi’ dengan kenyataan ‘ada kepentingan perniagaan’ di mana umum mengetahui ahli perniagaan itu mempunyai banyak perniagaan dan tidak semestinya saya merujuk kepada bidang judi. Itu yang saya cakap dan semua orang boleh dengar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Datuk Ibrahim Ali menyatakan tempoh memohon maaf kepada dua individu yang disamannya, Saifuddin dan Ketua Pengarang Suara keadilan, Dzulkarnain Talib sudah tamat dan hanya menunggu masa berjumpa di mahkamah.

Mengulas kenyataan itu, Saifuddin berkata, beliau tidak menerima apa-apa notis menuntut permohonan maaf dan ganti rugi daripada mana-mana pihak atau peguam malah menganggap isu itu sudah selesai selepas Speaker Parlimen membuat keputusan bahawa tiada kesalahan atas kenyataannya. 

“Oleh kerana saya tidak bersalah, saya serahkan kepada peguam,” katanya.

No comments:

Post a Comment