Friday, June 25, 2010

Azmin sah letak jawatan dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor


KUALA LUMPUR 24 Jun - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuat kuasa semalam.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Dalam surat berkenaan yang diserah semalam, saya tidak menyatakan sebab saya meletak jawatan. Saya ingin nyatakan ia tidak berkaitan dengan pemilihan PKR pada hujung tahun ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beberapa portal berita hari ini yang memetik kenyataan sumber dalaman PKR melaporkan bahawa peletakan jawatan itu berpunca daripada perselisihan faham antara Azmin dan Abdul Khalid.
Azmin dikatakan meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap pelantikan Faekah Husin sebagai setiausaha politik Abdul Khalid yang baru kerana pelantikan itu dibuat tanpa meminta nasihat daripada para pemimpin PKR yang lain.
Faekah pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail.
Azmin pada masa lalu pernah secara terbuka menyerang kepimpinan Abdul Khalid yang disifatkannya sebagai tidak cekap dan angkuh.
Dalam pada itu, ketika didesak wartawan supaya menjelaskan sebab peletakan jawatannya, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa memberitahu, sudah tiba masa untuk beliau memberi laluan kepada tokoh lain memberi sumbangan kepada PKNS.
"Saya merasakan setahun setengah berada dalam PKNS, saya memberi banyak sumbangan kepada perbadanan ini.
"Selain itu, saya juga amat gembira kerana prestasi PKNS sungguh cemerlang sehingga muncul sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang terbaik," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmin berkata, beliau tidak memberi sebarang cadangan nama penggantinya kepada Menteri Besar Selangor.
"Ini kerana adalah menjadi hak beliau untuk melantik sesiapa sahaja bagi mengisi kekosongan jawatan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment