Friday, June 25, 2010

Tiga GLC rugi antara 2005 hingga 2009


KUALA LUMPUR 24 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak tiga syarikat milik kerajaan (GLC) yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad telah mencatatkan kerugian antara 2005 hingga 2009.
Perdana Menteri berkata, kerugian yang dicatatkan oleh syarikat itu adalah disebabkan oleh persekitaran perniagaan yang mencabar.
"Ia konsisten dengan trend global seperti peningkatan harga minyak dunia serta pengurangan permintaan terhadap produk, di samping faktor luaran lain seperti penyusutan nilai pelaburan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Teck Hwa bertanyakan jumlah GLC yang mengalami kerugian sejak 2005, tindakan ke atas Lembaga Pengarah syarikat yang rugi dan senarai bantuan kewangan yang dihulurkan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, adalah tidak wajar Lembaga Pengarah GLC berkenaan dikenakan tindakan atas kerugian yang telah dicatatkan oleh syarikat masing-masing memandangkan ia berpunca daripada faktor luar kawalan.
Tambahan pula katanya, rata-rata GLC berkenaan kembali mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik pada tahun-tahun berikutnya.
Bagaimanapun ujarnya, jika tindakan hendak diambil, ia perlu dibuat oleh pemegang saham syarikat itu sendiri.
"Ini selaras dengan amalan tadbir urus korporat terbaik dan Buku Hijau (Meningkatkan Kecekapan Lembaga Pengarah) di bawah Program Transformasi GLC," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, semua GLC yang rugi terbabit tidak menerima sebarang bantuan kewangan untuk tujuan menyelamat daripada kerajaan.
Sebaliknya, kata beliau, sebarang bantuan kewangan adalah melalui insentif sedia ada berdasarkan garis panduan dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan untuk meningkatkan industri berkenaan.

No comments:

Post a Comment