Friday, June 25, 2010

Kerajaan nafi 4 tokoh terlibat JI


KUALA LUMPUR 24 Jun - Kerajaan menafikan bahawa empat tokoh di negara ini terlibat dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaitkan empat tokoh tersebut dalam satu sesi taklimat baru-baru ini adalah tidak berasas.
Empat tokoh yang dimaksudkan itu ialah bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurut beliau, tuduhan berkenaan sebenarnya dibuat oleh pihak lain dalam sesi taklimat berasingan.
''Sebenarnya pada 21 Jun lalu ada dua taklimat. Satu diberikan oleh pihak Bukit Aman, saya fikir taklimat ini adalah tepat serta tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.
''Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan ahli Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mahfuz meminta kementerian berkenaan memberi penjelasan berhubung satu dakwaan ketika sesi taklimat kepada naib-naib canselor bahawa keempat-empat mereka terlibat dengan kumpulan pengganas.
Pada sesi taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman yang turut dihadiri oleh menteri dan timbalan menteri; penceramah, Zamihan Mat Zain daripada Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dikatakan mendakwa empat tokoh berkenaan terbabit dengan fahaman Wahabi dan JI.
Dalam pada itu Saifuddin berkata, beliau telah meneliti hujah yang diberikan oleh penyampai taklimat itu dan mendapati ia tidak berasaskan kepada fakta kukuh.
''Terdapat hujah-hujah yang diberikan adalah tidak betul termasuk mengaitkan pengasas Wahabi, Muhammad Abdul Wahab dengan pengasas Arab Saudi, Muhammad Ibn Saud.
''Saya juga berpendapat adalah tidak betul untuk individu berkenaan mengaitkan balas dendam yang terdapat dalam tradisi Arab dengan kegiatan pengganas kerana ia adalah dua perkara berbeza," katanya.
Jelasnya, tindakan mengaitkan fahaman Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah perbuatan yang melampau.
''Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat itu mempunyai masalah dengan bekas Mufti Perlis. Jadi bagaimana masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara," ujarnya.
Tambah beliau, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala fobia Islam yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.

No comments:

Post a Comment