Friday, June 25, 2010

Petani protes



TUMPAT-Kira-kira 100 petani di bendang Kajang Sebidang mengadakan demonstrasi secara aman meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melonggarkan syarat pembelian minyak diesel atau petrol di dalam tong. 

Mereka mendakwa, sejak penguatkuasaan larangan membeli minyak di dalam tong di stesen-stesen minyak, petani sukar untuk mendapatkan bekalan minyak untuk diisi di dalam traktor kerbau besi sehinggakan penanaman padi melibatkan kira-kira 2,000 petani di lima buah kampung di sini terjejas teruk. 

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Bendang Pak Yong, Kajang Sebidang, Kubang Sawa, Telok Jering dan Kampung Naga Ibu membabitkan sawah padi seluas kira-kira 5,000 hektar. 

Dalam demonstrasi kira-kira sejam itu sambil mengibarkan sepanduk antaranya tertera ‘Petani Kerbau Besi Dalam Dilema, Gelisah’, ‘Kerbau Besi Makan Minyak Bukan Makan Air’, ‘Petani Kerbau Besi Minta Dibela’, mereka mendakwa tidak sanggup lagi menanggung kerugian. 

Seorang petani, Ismail Pak Cu, 63, berkata, jika sebelum ini mereka dibenarkan membeli minyak sebanyak RM5 hingga RM10 menggunakan tong, namun sejak dua minggu lalu mereka sukar mendapatkan bekalan minyak sehingga terpaksa menyedut di dalam tangki kereta dan motosikal. 

“Sekarang ini, kami isi minyak di dalam tangki kereta dan tangki motosikal, bila sampai di bendang padi kami menyedutnya untuk di isi di dalam tangki traktor kerbau besi bagi membolehkan jentera itu dihidupkan untuk membajak sawah,’ katanya yang mengakui berulang alik mengisi minyak dengan motosikal. 

Menurutnya, sepatutunya kerja-kerja membajak sawah padi sudah selesai, namun disebabkan oleh masalah sukarnya untuk mendapatkan bekalan minyak, masih banyak lagi sawah padi petani di sini belum dipajak. 

“Kelewatan ini mungkin kami akan terpaksa berputih mata kerana musim banjir semakin hampir, dan sekiranya tidak diusahakan dengan segera membajak sawah padi ini, memang padi tidak sempat dituai kerana banjir yang tiba dulu,” katanya. 

Bagi Zulkifli Hassan, 48, berkata, disebabkan masalah minyak tidak dijual di dalam tong ini, dia mengalami kerugian besar kerana tanaman sayurnya seluas 1.5 ekar rosak kerana tidak mendapat bekalan air secukupnya. 

“Lebih seminggu saya tidak dapat mengepam air dan jika hendak mengharapkan kudrat empat kerat, mana saya mampu untuk menyiramkan keseluruhan tanaman. Kami tidak dibenarkan langsung membeli minyak menggunakan tong kerana mereka mengesyaki akan menjualnya ke sempadan,” katanya. 

Menurutnya, dia meminta KPDNKK melonggarkan syarat membeli diesel di kalangan petani kerana tidak masuk akal sekiranya petani perlu membawa jentera di bendang ini untuk mengisi minyak di stesen-stesen minyak, lagi pun pam air berat untuk diangkat begitu juga traktor kerbau besi, memang memakan masa bergerak di atas jalan untuk ke stesen minyak. 

Sementara itu, Zakaria Hussin, 57, dari Kampung Kajang Sebidang meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) membantu menguruskan berkaitan pembelian diesel atau petrol bagi memudahkan petani mendapatkan bekalan bahan bakar itu. 

“Saya merayu kepada pengurusan Kada sebagai badan perantara membolehkan bekalan minyak ini mudah dibeli oleh petani. Wujudkan satu badan mengurus membolehkan petani membeli minyak ini melalui Kada dan dengan cara itu tidak akan timbul syak wasangka kedatangan petani dengan membawa tong ke stesen minyak yang hanya mampu diisi minyak 10 liter dikatakan untuk dijual ke sempadan,” katanya.

No comments:

Post a Comment