Tuesday, June 29, 2010

Badrul Hisham terlantar di hospital


KUALA LUMPUR 28 Jun - Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz, 51, kini terlantar di hospital dalam keadaan lemah selepas lima hari tidak sedarkan diri akibat keracunan makanan.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Malaysia pada tahun 1984 hingga 1995 kini dirawat di Hospital Serdang sejak 15 Jun lalu.
Isteri beliau, Datin Noraini Ahmad, 54, berkata, suaminya dikatakan terminum sejenis minuman dalam tin ketika memandu kereta tanpa menyedari minuman itu sudah tamat tarikh luput.
"Sejak itu, dia berasa tidak sihat dan sebaik sahaja pulang, saya terus membawanya ke klinik berdekatan selepas dia tiba-tiba jatuh pengsan.
"Saya kemudian segera menghubungi ambulans untuk membawa suami ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Hisham yang mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat untuk dua penggal selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1995 dan 1999.
Menurut Noraini, suaminya dirawat selama lima hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang akibat komplikasi yang teruk termasuk bengkak pada bahagian kaki.
"Selepas lima hari dalam ICU, dia kini dipindahkan ke wad biasa sejak 19 Jun lalu dan keadaannya kini beransur pulih walaupun masih lemah," katanya.

No comments:

Post a Comment