Tuesday, June 29, 2010

Suara Keadilan akan tetap disaman


KUALA LUMPUR 28 Jun - Felda akan tetap menyaman akhbar Suara Keadilan, akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah biarpun ia mendapat kritikan daripada pemimpin parti itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Felda telah pun melantik peguam untuk meneruskan tindakan undang-undang tersebut.
Menurut beliau, selain Suara Keadilan, beberapa pemimpin PKR dan pembangkang juga telah disenaraikan untuk diambil tindakan sama.
"Saman tetap saman. Ia akan diteruskan dan Felda telah lantik peguam. Senarai mereka yang akan diambil tindakan undang-undang juga telah ada.
"Tunggulah. Saya akan umumkan dalam satu sidang akhbar Rabu ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Gabungan NGO Malaysia mahu Kementerian Dalam Negeri terus memperhebatkan pemantauan ke atas akhbar-akhbar yang dikeluarkan parti-parti pembangkang bagi mengelakkan penerbitan yang berunsur fitnah dan tohmahan melulu terhadap kerajaan.
Setiausahanya, Mohd. Jurit Ramli berkata, tindakan KDN memanggil editor Suara Keadilanberhubung laporan akhbar rasmi PKR itu mengeluarkan artikel yang mendakwa Felda bankrap, amat dialu-alukan bagi membendung kenyataan fitnah daripada meresapi pemikiran orang ramai.
"Kalau diikutkan memang banyak kenyataan berunsur fitnah yang dimuatkan dalam akhbar-akhbar suara pembangkang ini tetapi yang kita lihat tiada tindakan yang benar-benar tegas diambil,'' katanya.

No comments:

Post a Comment