Tuesday, June 29, 2010

Pergolakan Bahagian Rantau Panjang rugikan UMNO


JAKARTA 28 Jun - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pergolakan di Bahagian UMNO Rantau Panjang yang mengadakan dua persidangan perwakilan berasingan kelmarin sebagai serius dan merosakkan imej parti.
Muhyiddin berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku jika mereka yang terbabit mempunyai semangat dan menjaga maruah UMNO.
"Kita berpandukan Perlembangaan (UMNO), kalau berlaku itu makna ada pihak tidak hormati perlembagaan parti, di situ ada bahagian yang sah.
''Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, kerana Zain (Datuk Mohamad Zain Ismail) baik dengan saya begitu juga Abdullah (Abdullah Mat Yassin), semua kawan, bila timbul begitu ia jejaskan imej parti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas pergolakan Bahagian Rantau Panjang sehingga menyebabkan persidangan bahagian diadakan oleh dua pihak berasingan, semalam.
Sehubungan itu, kata Muhyiddin, beliau telah mengarahkan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenal pasti punca kepada masalah tersebut sehingga menyebabkan persidangan perwakilan terganggu.
"Kita minta Perhubungan (UMNO Negeri), kalau perlu bentuk jawatankuasa dan siasat. Kemudian melaporkan kepada ibu pejabat tetapi yang baik kalau boleh mereka selesaikan.
''Biasanya kita tidak mahu campur urusan bahagian dan kita percaya Mustapa dan rakan lain dapat selesaikan isu itu," katanya.
Muhyiddin berkata, perkara yang paling penting adalah semangat pemimpin UMNO di Rantau Panjang menghormati Perlembagaan Parti.
"Sudahlah Kelantan tidak kita perintah, Pas memerintah, buat hal begini amat merugikan kita," katanya.
Krisis yang melanda UMNO Bahagian Rantau Panjang sejak 2008 menyebabkan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa menghadiri dua persidangan perwakilan yang diadakan di dua buah tempat berasingan secara serentak, semalam.
Persidangan perwakilan tersebut berpecah dua ekoran krisis yang melanda antara Ketua Bahagiannya, Abdullah Mat Yassin dan bekas ketuanya yang kini digantung keahlian UMNO, Datuk Mohamad Zain Ismail.
Keadaan itu menyebabkan persidangan berkenaan diadakan di dua tempat secara serentak iaitu di Lubok Jong, Rantau Panjang yang diketuai Abdullah dan di Dewan Yayasan Pembangunan Masyarakat, Lati, Pasir Mas di bawah pimpinan Mohamad. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment